SHAH ALAM – Rampasan kuasa di Mesir
dilihat akan memberi ruang kepada Israel untuk melancarkan serangan ke
atas Gaza memandangkan tanda-tandanya jelas kelihatan.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan
Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tanda-tanda itu
termasuk persiapan tentera Israel di sempadan dan operasi tinjauan
udara.
“Selain itu, baru-baru ini laporan media
Israel secara terbuka mengatakan bahawa Gaza adalah ancaman kepada
Israel,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Azmi berkata,
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) wajar mengambil tindakan
sewajarnya bagi mengelak banyak lagi nyawa tidak berdosa menjadi korban
akibat daripada penutupan sempadan Rafah ini.
Sempadan Rafah ditutup 3 Julai lalu oleh tentera Mesir ekoran krisis yang melanda negara itu.
Mengulas perkara sama, Mapim turut
mengecam tindakan Mesir menutup sempadan Rafah kerana ia akan mengancam
kelangsungan hidup penduduk Gaza.
Mohd Azmi menambah, sejak pintu sempadan Rafah telah ditutup hampir seminggu lalu, ia telah menyukarkan hidup penduduk Gaza.
“Sempadan Rafah merupakan sumber
pembekalan asas seharian yang masih sukar diperolehi seperti makanan,
air bersih, ubat-ubatan, peralatan rawatan dan minyak.
“Penutupan pintu Rafah sejak 3 Julai
lalu adalah atas arahan tentera Mesir telah menghalang keluar masuk
barang dan manusia dari Mesir ke Gaza.
“Tindakan ini telah mendedahkan penduduk Rafah kepada keperitan dan penderitaan yang lebih teruk,” katanya.
Justeru itu, Mohd Azmi mengesa agensi
antarabangsa agar mendesak pihak berkuasa Mesir membuka sempadan Rafah
untuk mengelak Gaza sekali lagi menjadi medan penjara terbuka.
“Kepada seluruh komuniti antarabangsa, penutupan Rafah sebagai satu-satunya jalan keluar masuk Gaza ke dunia luar.
“Penutupan ini adalah proses pemangsaan ke atas Gaza dan juga membuktikan kolaborasi antara Mesir dan Israel,” katanya.
Dalam pada itu beliau turut meluahkan
kekecewaan apabila puak Fatah telah mengguna kesempatan sempadan Rafah
yang ditutup dengan propaganda untuk menghasut penduduk Gaza menolak
kerajaan Hamas.
“ Ini adalah sangat memalukan orang Palestin dan satu penghinaan yang berniat jahat untuk mengambil alih Gaza,”katanya. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment