PETALING JAYA – Dalam tempoh lebih 50
hari, bilik transit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
telah menjadi rumah kepada seorang warga Palestin berusia 22 tahun yang
terkandas di situ.
Tidak diketahui oleh pegawai-pegawai
penguatkuasa, Ahmed Kanan tidur di atas sofa di ‘News Lounge’ dalam
ruang transit di tingkat mezanin lapangan terbang.
Dia telah bergantung kepada penumpang
transit untuk makanannya setiap hari, biasanya sebiji burger sehari dan
mandi di dalam tandas awam.
Ahmed, yang dilahirkan di Syria, memegang pasport Palestin.
Dia telah dihalang daripada memasuki negara ini kerana tinggal melebihi tempoh sebelum ini.
“Saya telah merayu kepada pegawai
imigresen lapangan terbang beberapa kali tetapi mereka tidak dapat
membantu kerana saya telah dihalang memasuki Malaysia,” katanya ketika
ditemuramah.
Bagaimanapun dia cukup selesa di situ
kerana mempunyai pelbagai kemudahan termasuklah akses internet melalui
wi-fi yang disediakan di kafe yang membolehkannya berhubung dengan ahli
keluarga di Bulgaria dan Vienna menerusi Skype.
Selepas dua hari pertama dia di situ
yang mana dia tidak mempunyai makanan, dia merayu meminta makanan kepada
pekerja di outlet makanan berhampiran.
Seorang pekerja kemudiannya membawa keluar sebiji burger dari dapur untuknya.
Ahmed tidak juga mempunyai masalah
mengenai baju kotornya kerana seorang pencuci yang bekerja di lapangan
terbang telah membawa pulang bajunya untuk dicuci selang beberapa hari.
Sikapnya yang merendah diri dan baik hati membolehkannya mendapat ramai kawan dengan mudah.
“Ramai pekerja di kawasan transit kenal
saya kerana saya percaya sayalah orang yang paling lama tinggal di sini.
Kebanyakannya bersimpati dan ada juga yang menangis mendengar cerita
saya terkandas lama di sini,” kata Ahmed.
Di dalam begnya terdapat empat helai
seluar pendek, tiga helai baju T dan empat helai seluar dalam serta
komputer riba dan telefon bimbit.
“Saya telah hilang 8kg berat badan. Saya
berdoa kepada Allah lima kali sehari di sini untuk membantu dan saya
percaya seseorang akan datang membantu saya.
“Saya tidak merayu untuk mendapatkan
wang tapi saya mendapat antara AS$10 dan A$S50 daripada penumpang yang
bersimpati,” katanya yang tiba di KLIA dengan AS$70.
Ahmed berkata dia mahu menyambung pengajian dan berkerja di mana-mana negara dan berharap seseorang dapat membawanya pulang.
“Buat masa ini tiada negara yang mahu
terima saya kerana pasport Palestin saya. Saya harap Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dapat tolong
saya,” katanya.
Pengalaman pahit Ahmed bermula apabila
dia tiba di KLIA menggunakan visa pelancong pada 26 November dari
Moscow. Dia belajar dalam bidang pelancongan lebih dari setahun tetapi
tidak dapat melanjutkan tempoh kediamannya di Rusia.
Terdahulu, dia telah meninggalkan
Palestin kerana pergolakan di wilayah yang diduduki dan mahu mencari
sebuah negara yang lebih selamat untuk belajar dan bekerja.
Ketika tiba di Malaysia dia meminta
bantuan daripada seorang pelajar Palestin di Universiti Teknologi Mara
(UiTM) di Melaka untuk mendaftarkan dirinya di sana tetapi permohonannya
ditolak kerana dia memegang visa pelancong.
Ahmed berkata selepas tempoh sebulan tamat dia terbang ke Laos tetapi turut dinafikan kemasukan kerana tidak mempunyai visa.
Dia disuruh kembali ke Malaysia.
Ketika tiba di Terminal Tambang Murah
(LCCT), pegawai imigresen memberikannya tempoh tujuh hari di sini tetapi
dia tidak tahu ke mana harus dia pergi lalu menetap di negara ini
selama tiga bulan.
Dia kembali ke Turki tanpa visa, dinafikan kemasukan dan dihantar ke Malaysia.
Pegawai di Turki bagaimanapun telah menahan pasportnya.
Sementara itu, menurut jurucakap Kedutaan Palestin, Ahmed memerlukan visa jika mahu ke Turki.
Katanya, banyak negara tidak mengizinkan kemasukan pemegang pasport Palestin melainkan mereka mempunyai visa.
Katanya, Ahmed terdahulu telah
mendapatkan bantuan kedutaan tetapi para pegawai tidak dapat membantu
kerana dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan untuk mengesahkan
dia dari Palestin.
“Tetapi apabila dia kini sudah mempunyai pasport, kami akan cuba mencari jalan membantunya,” katanya.
Katanya, Imigresen Malaysia sangat tegas
dan Ahmed telah dihalang daripada memasuki Malaysia selama tiga tahun
kerana telah tinggal lebih dari tempoh sepatutnya. - mStar Online
0 comments:
Post a Comment