KUCHING – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan Perhimpunan Agung ke-13 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) pada 21 Okt depan.
Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata surat jemputan kepada perdana menteri selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) dan presiden Umno telah pun dihantar.
Beliau berkata persidangan kali ini melibatkan 2,157 perwakilan terdiri daripada sayap Kaum Bapa, Pemuda, Wanita serta pemerhati akan diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 18 hingga 22 Okt.
“Mesyuarat Pemuda dan Wanita akan diadakan pada 18 dan 19 Okt, manakala mesyuarat Kaum Bapa dan perhimpunan akan diadakan pada 21 dan 22 Okt,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja penganjuran perhimpunan di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, hari ini.
Mengulas lanjut, Awang Tengah berkata sempena perhimpunan itu juga satu seminar memberi pemahaman khususnya kepada generasi muda mengenai perjuangan lebih 50 tahun PBB membangunkan Sarawak akan turut diadakan.
Menurutnya seminar itu akan turut membincangkan perkara penting yang harus diberi fokus dalam menjayakan dasar politik pembangunan gelombang kedua kepada Sarawak.
“Seminar ini akan diadakan pada 20 Okt melibatkan semua perwakilan akan memberi pemahaman kepada mereka tentang hakikat dan perjuangan yang dibawa parti PBB sehingga dapat mensejahterakan hidup rakyat, membawa pembangunan dan kestabilan, dan terus mengukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat kita,” katanya.
Sementara itu, Awang Tengah berkata 39 cawangan PBB telah pun selesai menjalankan mesyuarat perwakilan masing-masing.
“Tinggal 32 lagi cawangan yang belum selesai mengadakan mesyuarat, dan kita telah pun arahkan semua cawangan itu mengadakan mesyuarat sebelum 15 Sept depan,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment