KUALA LUMPUR – Transparency International Malaysia (TI-M) menganggap negara kehilangan berjuta-juta ringgit melalui pembaziran perbelanjaan wang awam seperti yang didedahkan menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2012 akibat pendekatan kerajaan yang terlalu memanjakan penjawat awam.
Presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar berkata, kerajaan sepatutnya bertindak tegas dengan memecat mana-mana penjawat awam yang pemalas, tidak jujur dan tidak cekap dalam menguruskan dana awam untuk mengelakkan kehilangan wang awam berterusan pada masa akan datang.
“Tiada pilihan. Sekiranya mereka (penjawat awam) gagal, mereka perlu dikeluarkan daripada tugas berbanding sekadar dikenakan tindakan dipindahkan ke jabatan lain atau sekadar diturunkan pangkat.
“Tidak baik apabila membenarkan kakitangan kerajaan terus mengulangi kesalahan tanpa rasa takut tindakan buruk mereka akan memberikan kesan kepada karier. Tanpa usaha yang serius menangani perkara ini, negara akan kehilangan lebih banyak pada masa akan datang,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, Akhbar berkata, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) perlu mengambil langkah memecat penjawat awam yang tidak berkualiti untuk menjadikan Program Transformasi Kerajaan (GTP) lebih berkesan.
Beliau juga mendakwa keadaan boleh menjadi lebih teruk sekiranya kerajaan tidak mengambil berat mengenai pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2012 dengan tidak mengambil tindakan tegas ke atas penjawat awam.
Beliau turut mendesak kerajaan mempraktikkan amalan sektor swasta yang sentiasa mengutama kualiti dan pematuhan kerja dalam pemantauan karier pekerja mereka.
“TI-M berasakan penjawat awam di Malaysia pada waktu ini ibarat “fattened calf” yang perlu dikurangkan terutama pada waktu kesukaran ekonomi,” katanya.
0 comments:
Post a Comment