Anifah Aman
KUALA LUMPUR - Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menyeru negara anggota Indian Ocean Rim Association (IORA) mempertingkat muafakat dan menumpukan kepada pencapaian yang lebih bermakna untuk keberkesanan kerjasama di rantau itu.
Kenyataan Wisma Putra hari ini menyebut Anifah berkata program atau projek yang disaran oleh IORA mestilah pragmatik dan berdaya maju serta mampu menyumbang kepada kemajuan rantau Lautan Hindi secara menyeluruh.
Perkara itu dinyatakan menteri berkenaan pada Mesyuarat ke-13 Majlis Menteri-Menteri IORA di Perth, Australia baru-baru ini.
"Di sela-sela mesyuarat tersebut, Menteri Luar berkesempatan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Australia Julie Bishop dan dari Sri Lanka Gamini Lakshman Peiris," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat itu, yang dipengerusikan Bishop, membincangkan beberapa inisiatif untuk mempertingkat daya dinamik IORA serta memperkukuh kerjasama negara anggota IORA.
Antara bidang kerjasama utama yang dibincang termasuk Keselamatan Maritim, Pengurangan Risiko Bencana, Perdagangan dan Pelaburan, Pendidikan, Pengurusan Perikanan serta Sains dan Teknologi.
Menurut kenyataan itu, cadangan Malaysia untuk menubuhkan 'Centre for Multilateral Entrepreneurship Education', yang akan menumpu kepada pengajaran secara inovatif bagi membangunkan perusahaan kecil dan sederhana, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) disambut baik negara anggota IORA.
Kenyataan itu juga menyebut Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri berkenaan menerima pakai Kenyataan Perth dan Deklarasi Prinsip Keamanan dan Penggunaan Mampan Lautan Hindi serta Sumbernya.
"Kedua-dua dokumen mengulangi komitmen negara anggota IORA untuk mengukuhkan lagi kerjasama demi mencapai pertumbuhan ekonomi secara mampan serta pembangunan
yang seimbang di sekitar Lautan Hindi," katanya.
IORA ditubuh pada 1997 bagi memudahkan aktiviti perdagangan dan pelaburan di rantau Lautan Hindi yang mana negara anggota IORA menyumbang sebanyak 13.4 peratus kepada hasil perdagangan dunia dan 32.4 peratus kepada perdagangan antarabangsa Malaysia.
IORA dianggotai 20 negara serta enam rakan dialog iaitu Amerika Syarikat, Britain, China, Jepun, Mesir dan Perancis. - Bernama
0 comments:
Post a Comment