Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, November 17, 2013

No Comment

KUALA LUMPUR – Puncak Niaga Sdn. Bhd. (PNSB) menghantar empat kakitangan syarikat itu menyertai misi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Filipina yang menjadi mangsa Taufan Haiyan baru-baru ini.

PNSB dalam satu kenyataan media memberitahu, keempat-empat kakitangan syarikat itu tiba di Tacloban bersama 11 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pagi ini bagi menyertai misi di wilayah Leyte.

“Mereka tiba di sana kira-kira pukul 7 pagi selepas bertolak daripada Lapangan Terbang Subang dengan membawa sebuah tangki Jernih yang menghasilkan air bersih.

“Mereka ialah Noor Hailizam Muhammad, Syamsul Ariff Supaat, Mohamad Razali dan Ahmad Rahim Sulaiman,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, kakitangan PNSB terbabit memaklumkan beribu-ribu penduduk tempatan sedang meninggalkan bandar Tacloban pada waktu ini kerana bekalan makanan dan air bersih semakin berkurangan.

Penduduk terpaksa menumpang trak tentera keluar dari bandar Tacloban menuju ke Manila atau Cebu.

Kakitangan PNSB itu turut memaklumkan tiada bekalan elektrik di bandar itu menyebabkan mangsa terpaksa tinggal dalam kem pemindahan sementara yang kotor dan sesak atau pondok yang mereka bina sendiri.

“Situasi di bandar itu amat menyedihkan kerana semua kediaman di situ musnah ibarat `padang jarak padang tekukur’,” kata Noor Hailizam yang merupakan Jurugambar PNSB melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar kepada ibu pejabat PNSB hari ini.

Situasi itu bagaimanapun tidak menghalang mereka dan anggota ATM yang terlibat dalam misi itu memberi bantuan yang sewajarnya kepada mana-mana mangsa bencana yang masih bertahan di bandar Tacloban.

“Apa yang penting ialah kami telah dapat mencari lokasi sesuai untuk menempatkan Jernih secepat mungkin agar ia dapat merawat air sungai secepat mungkin bagi menghasilkan air bersih dan selamat diminum.

“Ternyata penduduk amat kekurangan bekalan air bersih, selain ketiadaan makanan dan tempat tinggal. Negara lain turut menghantar bekalan sama dalam bentuk botol air minuman dan mineral tetapi jumlahnya amat terhad,” kata Noor Hailizam.

0 comments:

Post a Comment