Pagar zink penampan habuk yang runtuh, petang kelmarin.
AYER MOLEK - Jika sebelum ini, penduduk Kampung Tambak Paya di sini melahirkan kebimbangan terhadap risiko tembok pengadang tanah yang dibina pemaju perumahan bersebelahan kawasan kediaman.
Namun, petang semalam, kebimbangan mereka semakin memuncak apabila sebahagian pagar zink penampan habuk pada tembok memisahkan kawasan dengan projek perumahan Taman Tambak Paya Jaya itu runtuh.
Pembinaan tembok yang diumpamakan sebagai 'Tembok Berlin' sebelum ini mendapat bantahan penduduk berikutan dibina terlalu tinggi sehingga mengancam keselamatan ramai.
Penduduk, Muhamad Ishak, 72, berkata, runtuhan berlaku kira-kira berikutan hujan lebat menyebabkan rumahnya yang terletak kira-kira lima meter hampir mengenai kediamannya.
"Saya terdengar dentuman kuat sebelum menyedari pagar zink di situ runtuh. Saya terus memanggil anak-anak di dalam rumah untuk melihat apa berlaku, tapi tidak sangka bunyi itu datangnya dari pagar zink yang runtuh di hadapan rumah.
“Pada masa sama, air lumpur turun mencurah-curah pada tembok yang bertinggian kira-kira lima meter itu,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Apandi Muhamad, 50, berkata, mereka bernasib baik kerana runtuhan zink tidak terkena rumah penduduk, selain melibatkan nyawa.
“Biasanya, kawasan runtuhan menjadi tempat kanak-kanak bermain dan laluan orang ramai serta penduduk berulang alik. Tapi, nasib baik ketika kejadian tiada orang di situ," katanya.
Sementara itu, Sidang Kampung Tambak Paya, Razali Muhamad berkata, kejadian berkenaan sudah diadukan kepada Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).
Menurutnya, pada hari kejadian kelmarin, sepasukan penguatkuasa MBMB ada datang melawat dan mengambil gambar di lokasi berkenaan.
“Kami masih menunggu hasil perbincangan di antara pemaju dan MBMB untuk mengubah suai tembok berkenaan kepada bentuk yang lebih baik dan tidak mendatangkan masalah.
“Selain masalah banjir lumpur, pada April lalu, pagar zink berkenaan sepanjang kira-kira 100 meter pernah runtuh, namun mujur ia menghala arah kawasan pembinaan,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini pernah beberapa kali melaporkan rungutan penduduk berkenaan berhubung tembok yang dibina sejak lebih dua tahun lalu.
Kali terakhir pada Mei lalu, apabila penduduk mendakwa tembok sepanjang kira-kira 400 meter dan mempunyai ketinggian empat hingga lima meter itu dikesan sudah mengalami 37 rekahan.
0 comments:
Post a Comment