KUALA LUMPUR – Jingga 13 mengecam tindakan Yayasan Islam Terengganu (YIT) tidak menyambung kontrak ramai guru kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Terengganu tanpa sebarang alasan munasabah.
Ketua Koordinatornya, Fariz Musa mendakwa, Pengarah YIT, Ahmad Fadluldin Mohamad langsung tidak menyatakan sebab perkhidmatan guru-guru KAFA terbabit tidak disambung dalam surat `tidak sambung kontrak’ kepada guru KAFA terbabit.
“Garis Panduan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Jakim 2011 menyatakan bahawa perkhidmatan guru KAFA boleh dihentikan pada bila-bila masa dengan dinyatakan sebab-sebab tertentu. Namun YIT langsung tidak menyatakan sebab musabab tindakan yang telah diambil.
“Saya difahamkan tindakan tersebut tindakan balas terhadap guru KAFA dan keluarga mereka yang dituduh menyokong pakatan pada pilihan raya umum Mei lalu. Andai benar tuduhan ini menunjukkan betapa tidak profesional dan matang kepimpinan YIT,” dakwanya melalui satu kenyataan media semalam.
Justeru, Fariz mahu YIT menjawab isu tersebut kerana ia melibatkan satu tuduhan serius yang boleh menjejaskan integriti YIT sebagai sebuah institusi yang ditubuhkan bagi aktiviti dakwah dan penyelidikan berkaitan hal ehwal agama Islam.
Beliau turut membidas YIT kerana didakwa tidak mempunyai sensitiviti untuk mempertimbangkan kesusahan yang bakal dihadapi oleh guru-guru KAFA tersebut yang mungkin mempunyai banyak tanggungan dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatan yang diperolehi melalui pekerjaan itu.
Media pada 24 Disember lalu melaporkan PAS Terengganu mendakwa YIT tidak melanjutkan kontrak perkhidmatan seramai 200 guru KAFA di negeri itu.
0 comments:
Post a Comment