KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Pacific Corporation Berhad (MPAC), Datuk Ch’ng Chong Poh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas 58 pertuduhan melakukan urus niaga dalaman membabitkan saham syarikat itu pada tahun 2008.
Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam satu kenyataan media memberitahu, Chong Poh dituduh melakukan kesalahan tersebut di antara 14 Mei 2008 dan 20 Ogos 2008.
“Kesemua 58 pertuduhan yang dikenakan adalah untuk kesalahan di bawah Seksyen 188(2) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.
“Dia didakwa memperoleh saham-saham MPAC sebelum mengadakan projek usaha sama bernilai berjuta-juta ringgit di antara Oriental Pearl City Properties Sdn Bhd, sebuah anak syarikat milik penuh MPAC dan Amanahraya Development Sdn Bhd (ADSB) yang merupakan anak syarikat milik penuh Amanah Raya Berhad bagi mengendalikan beberapa projek di Wilayah Pembangunan Iskandar di Johor,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara mandatori maksimum 10 tahun dan denda minimum tRM1 juta.
Kata kenyataan itu, Chong Poh bagaimanapun mohon dibicarakan bagi semua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mat Ghani Abdullah menetapkan wang jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
“SC memandang serius terhadap kesalahan seperti ini dan akan terus aktif mengambil tindakan terhadap perbuatan itu bagi mengekalkan keyakinan pelabur dalam pasaran modal,” kata kenyataan itu.
0 comments:
Post a Comment