PENYANYI dan pengacara Aril Pilus mengakui perasaan gementar ketika mengendalikan program realiti pertandingan akhir Ceria Superstar Musim Kedua pada Ahad lalu mengakibatkannya tersilap menyebut nama program tersebut.
Aril, 28, berkata, sebagai pendatang baharu dalam bidang pengacaraan, dia perlu lebih banyak belajar cara mengawal perasaan dan maklumat yang datang ketika berada di atas pentas.
“Saya akui perasaan gementar terutamanya ketika saat-saat akhir itu terlalu banyak maklumat yang sampai, sementara keadaan penonton pula bersorak menantikan pemenang diumumkan.
“Kemudian, ketika itu saya terpandang ke arah Pak Nil (Datuk Aznil Haji Nawawi) dan fikiran saya terus terlintas Akademi Fantasia dan menyebutnya,” katanya kepada mStar Online.
Aril yang bertindak sebagai pengacara pada program realiti tarian kanak-kanak Ceria Superstar membuat kesilapan ketika mengumumkan nama program yang bersiaran secara langsung itu sebagai Akademi Fantasia.
Bagaimanapun, situasi itu berjaya dikawal oleh pengacara berpengalaman Aznil selaku penaung dan penasihat kepada program tersebut.
Tambah Aril, dia mengambil iktibar atas kesilapan itu dan menganggapnya sebagai proses pembelajaran untuk pergi lebih jauh dalam bidang pengacaraan.
“Tersasul adalah perkara biasa dan semua pengacara pernah mengalaminya, namun saya mengambil ini sebagai pengajaran biarpun ia hanya rancangan untuk kanak-kanak sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Aril berkata, selain bidang nyanyian dan penyampai radio, cabang kerjaya tersebut juga perkara baharu yang dilihat mampu membawanya lebih jauh dalam industri seni tanah air.
Sebelum ini, Aril turut mengendalikan rancangan terbitan Astro iaitu Trek Selebriti dan beberapa program hiburan terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM). – mStar
0 comments:
Post a Comment