PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal berdepan krisis kecederaan pertama mereka musim ini menjelang perlawanan pertama pusingan kedua liga bertemu Cardiff City di gelanggang sendiri, malam ini.
Dua pemain tengah, Mesut Ozil dan Aaron Ramsey bersama-sama penyerang utama, Olivier Giroud hampir pasti terpaksa diketepikan untuk aksi malam ini sambil pengendali Arsenal, Arsene Wenger turut bimbang mengenai tahap kecergasan mereka menjelang aksi berikutnya bertemu musuh setempat, Tottenham, Sabtu ini.
Semuanya berpunca daripada jadual padat perlawanan selang dua atau tiga hari yang terpaksa diharungi mereka sempena Hari Krismas dan Tahun Baru 2014.
“Ramsey terpaksa diketepikan tiga minggu manakala Ozil sudah berjumpa pakar semalam tetapi saya masih belum menerima laporan lengkap. Kami juga kehilangan Kieran Gibbs ketika bertemu Newcastle akibat kecederaan betis.
“Nacho Monreal dan Thomas Vermaelen juga belum pasti benar-benar bersedia kerana mereka baru saja pulih daripada kecederaan manakala keadaan Thomas Rosicky, Jack Wilshere dan Theo Walcott turut belum diketahui bila mereka akan dapat pulih sepenuhnya.
“Giroud mengalami kecederaan buku lali ketika bertemu Newcastle dan pemeriksaan perubatan akan dibuat untuk menentukan sama ada dia dapat beraksi atau tidak bertemu Cardiff ini,” kata Wenger.
Arsenal kini di tangga teratas liga selepas 19 perlawanan dengan mengumpul 42 mata diikuti Manchester City dengan 41 mata dan Chelsea 40 mata.
Juara bertahan, Manchester United di tangga keenam dengan 34 mata, dua mata kurang berbanding pendahulu sebelum ini, Liverpool yang kini turun ke tangga kelima dengan 36 mata – di belakang Everton dengan 37 mata di tangga keempat.
JADUAL HARI INI
Swansea lwn Man City, 8.45 mlm
Arsenal lwn Cardiff, 11 mlm
Southampton lwn Chelsea, 11 mlm
Stoke lwn Everton, 11 mlm
Liverpool lwn Hull, 11 mlm
Crystal Palace lwn Norwich, 11 mlm
Fulham lwn West Ham, 11 mlm
Sunderland lwn Aston Villa, 11 mlm
West Brom lwn Newcastle, 11 mlm
Man United lwn Tottenham, 1.30 pagi
0 comments:
Post a Comment