PUTRAJAYA – Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang sedang melakukan lawatan dua hari ke Malaysia bermula Khamis, diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana di sini hari ini.
Ketibaan Erdogan pada kira-kira 10.45 pagi disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum lagu kebangsaan Malaysia dan Turki dimainkan.
Erdogan kemudian memeriksa kawalan kehormat terdiri daripada 106 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.
Hadir sama menyambut Erdogan ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan beberapa menteri Kabinet.
Kedua-dua pemimpin kemudian diiringi ke paras lima Bangunan Perdana Putra untuk memulakan mesyuarat dua hala yang dijangka membincangkan mengenai hal kepentingan kedua-dua buah negara.
Lawatan ini dilakukan atas jemputan Najib, dan merupakan sebahagian daripada misi lawatan Erdogan ke Asia termasuk Jepun dan Singapura.
Ia juga sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan Turki yang terjalin sejak 1964.
Perdana menteri Turki itu dijadual menyampaikan kuliah utama bertajuk ‘Mentransformasikan Asia Pasifik dan Turki’ pada siri syarahan Tun Abdul Razak anjuran Yayasan Penyelidikan Mengenai Transformasi dan Razak School of Government (RSOG).
Pemimpin Turki itu juga akan menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat dalam Pengurusan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment