Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, January 1, 2014

No Comment

KUALA LUMPUR – Tepat jam 12 malam, percikan bunga api yang penuh warna-warni menerangi ruang angkasa di beberapa lokasi negara menandakan ketibaan Tahun Baharu 2014 sekali gus meninggalkan 2013 yang penuh dengan seribu kenangan.

Tahun baharu disambut meriah di seluruh negara serentak dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Meskipun terdapat cubaan pihak tertentu mengadakan perhimpunan haram di beberapa lokasi ibu negara namun ia tidak menjejaskan kemeriahan sambutan di tempat lain.

Di PUTRAJAYA, lebih 500,000 pengunjung memenuhi Dataran Putrajaya di Presint 3 untuk Konsert Ambang 2014 anjuran Kumpulan AmBank dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj).

Turut hadir bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Tan Sri Dr Aseh Che Mat serta Pengerusi Kumpulan Ambank Tan Sri Azman Hashim dan isteri Tunku Arishah Tunku Maamor.

Selain pertunjukan bunga api, pelbagai artis popular mengadakan persembahan pada konsert itu, antaranya, Datuk M Nasir, Datuk Hattan, Datuk Jamal Abdillah, Ella, Soo Wincci, Rabbit Mac, Mista G, Kumpulan Sweet Charity, Amy Search dan Hujan, The Malaysian Drum Symphony, The Singing Shop dan kombo PPj.

Konsert itu bersiaran secara langsung di NTV7 dan dihoskan DJ radio HotFM Fara Fauzana dan Faizal Ismail.

Di SHAH ALAM, lebih 3,000 hadir di Dataran Kemerdekaan bagi menyambut ketibaan tahun baharu.

Sambutan sederhana itu diisi dengan persembahan penyanyi seperti Aisyah, Nora dan Voice of Ummi, ceramah agama oleh Ustaz Aziz Ibrahim, Ustaz Haslin Ibrahim dan Ustaz Don Danial tanpa kiraan detik-detik 12 malam.

I-City, yang diiktiraf sebagai destinasi pelancongan malam oleh kerajaan pula meraikan sambutan tahun baharu dan TMM 2014 dengan dua pertunjukan bunga api yang menakjubkan.

Pengurusan i-City juga memutuskan untuk menggabungkan satu sesi tambahan pada pukul 8 malam bagi menyambut ketibaan tahun baharu dan TMM 2014, yang diuar-uar sebagai acara terbesar dalam kalendar pelancongan Malaysia.

Ribuan rakyat mengambil kesempatan mengunjungi taman tema seluas 10 hektar itu yang mempunyai pelbagai tarikan seperti Snowalk, Trick Art Museum dan Karpet Merah serta muzium patung lilin interaktif Malaysia pertama.

Di IPOH, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan dan Kebudayaan Nolee Ashilin Mohammed Radzi menyertai lebih 7,000 rakyat menyambut ketibaan 2014 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.

Sambutan tahun baharu kali ini menampilkan pertunjukan bunga api sebanyak dua kali iaitu pada detik 12 malam disusuli persembahan beberapa artis tempatan, kebudayaan dan gendang 1Malaysia.

Tinjaun Bernama di depan Bangunan Stesen Keretapi Ipoh mendapati Jabatan Agama Islam Perak turut menganjurkan Program Kepedulian Sosial dan Imarah Ummah yang menampilkan persembahan nyanyian serta pengedaran risalah oleh Sahabat Dakwah kepada pengunjung.

Di MELAKA, sambutan tahun baharu diadakan di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir yang disertai lebih 5,000 pengunjung termasuk pelancong tempatan dan luar negara.

Sambutan dimeriahkan dengan pelancaran TMM 2014 peringkat negeri yang disempurnakan Exco negeri Datuk Md Yunos Husin.

Melaka, yang menyasarkan kedatangan 14 juta pelancong bersempena TMM 2014, akan menampilkan 96 acara seperti Pesta Sungai Antarabangsa, World Heritage Festival dan Melaka Tourism Show.

Para pengunjung turut menerima kalendar TMM Melaka daripada Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri.

Persembahan koir, pertunjukan bunga api, cabutan bertuah serta acara menghitung detik 12 malam diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.

Di GEORGE TOWN, ribuan rakyat Pulau Pinang dan pelancong asing membanjiri Padang Kota Lama untuk meraikan sambutan di ambang tahun baharu dan menyaksikan pertunjukan bunga api sebagai acara kemuncak pada tepat 12 malam.

Terdahulu, lebih lapan ribu pengunjung dihiburkan dengan konsert oleh artis tempatan seperti Kumpulan JYJ Reunion, Bunkface, Tomok, Manifesto, The Villanz dan Pink Tan.

Tinjauan Bernama juga mendapati orang ramai turut membanjiri Persiaran Gurney, Bukit Bendera, Queensbay Mall, Kompleks Bukit Jambul dan Padang Majlis Perbandaran Butterworth seawal 8 malam bagi memeriahkan sambutan itu.

Suasana sekitar lokasi sambutan bertukar gamat menjelang pengiraan detik 12 malam dan pengunjung berpeluang menyaksikan persembahan bunga api sebagai acara kemuncak.

Di KEDAH, sambutan tahun baharu di beberapa bandar utama berlangsung dengan meriah.

Di Alor Setar, sambutan berlangsung di Taman Jubli Emas, Langkawi dan Dataran Zero di Sungai Petani.

Tembakan bunga api dilepaskan tepat pukul 12 malam.

Di KANGAR, tiada acara khusus bagi menyambut ketibaan 2014 namun ribuan pengunjung Karnival Perlis IMT-GT 2013 secara tidak langsung meraikannya di Dataran Datuk Sheikh Ahmad.

Ketika pengacara pentas kebudayaan karnival itu menghitung detik 12 malam, kebanyakan pengunjung melihat ke arah jam besar di Kompleks Pejabat-Pejabat Kerajaan Perlis.

Tepat jam 12 malam, mereka bersorak menyambut ketibaan 2014 sambil mengucapkan selamat tinggal kepada 2013.

Suasana berlangsung secara harmoni dan ringkas tanpa pertunjukan bunga api. Karnival Perlis IMT-GT menghimpunkan para usahawan Malaysia, Indonesia dan Thailand bagi mempromosi serta menjual produk mereka selama enam hari yang berakhir esok.- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment