PENYANYI Salamiah Hassan mengakui masih gemar memakai kasut bertumit tinggi sehingga ukuran lima inci seperti wanita-wanita muda walaupun usianya sudah mencecah 63 tahun.
Salamiah yang popular dengan lagu Gelombang berkata, dia sudah biasa memakai kasut-kasut jenis tinggi sejak dahulu lagi dan pada masa sama bersyukur kerana tidak mempunyai masalah sakit pinggang atau kaki.
“Saya memang suka memakai kasut tinggi sejak dulu lagi dan paling tinggi yang pernah saya pakai ialah tumit lima inci. Tetapi ia hanya untuk dipakai ketika mengadakan persembahan sahaja.
“Bukannya apa, memandangkan saya ni agak rendah, jadi kenalah pakai kasut tinggi, selain kebanyakan gaun yang dipakai agak labuh.
“Dan ada masanya saya pakai kasut tumit yang tidak terlalu tinggi apabila ingin membeli belah. Alhamdulillah, mujur saya seorang yang tidak pernah kenal erti sakit pinggang atau kaki akibat memakai kasut tinggi,” katanya kepada mStar Online.
Terdahulu beliau berjaya mengadakan persembahan buat pertama kalinya di Istana Budaya di sini dalam konsert Gelombang Salamiah Hassan bermula Jumaat lalu dan berakhir pada Ahad.
Ibu kepada penyanyi Atilia ini turut menyifatkan keadaannya yang tidak mempunyai masalah pinggang dan kaki mungkin juga kerana petuanya yang sentiasa menitik beratkan soal pengambilan makanan sihat.
Kata Salamiah, petua itu satu perkara penting buatnya kerana dia tidak boleh mengambil ubat-ubatan sekiranya sakit kerana alahan.
“Kalau nak tahu saya tidak boleh makan ubat apabila jatuh sakit kerana ia boleh membuatkan keadaan saya menjadi lebih teruk.
“Jadi saya perlu menjaga diri dengan pengambilan makanan sihat untuk pastikan saya tidak mudah jatuh sakin, dan selebihnya, terserah kepada Allah untuk menentukannya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Salamiah berkata, dia turut mengamalkan senaman setiap hari bagi menguatkan stamina diri terutamanya ketika berada di pentas persembahan. – mStar
0 comments:
Post a Comment