KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa memantau dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara semenjak berlakunya kejadian letusan gunung berapi Sinabung di Sumatera Utara, Indonesia beberapa hari lalu.
Sehingga ke tarikh hari ini, tiada kesan ketara ke atas kualiti udara yang disebabkan oleh kejadian letusan gunung berapi tersebut.
Sehubungan itu, JAS ingin menjelaskan bahawa laporan akhbar tempatan yang mengaitkan status kualiti udara yang tidak sihat di beberapa kawasan di Malaysia semenjak dua hari lepas disebabkan oleh debu dari letusan gunung berapi Sinabung adalah tidak tepat.
Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat yang dicatatkan pada jam 3 petang semalam, 5 Februari 2014 di Cheras, Kuala Lumpur (IPU 107) dan Ipoh, Perak (IPU 124) adalah disebabkan oleh kepekatan ozon di permukaan bumi (O3) yang tinggi di kawasan berkenaan ketika cerapan dilakukan.
Pembentukan ozon di permukaan bumi (O3) berlaku setiap hari pada awal petang terutama di kawasan bandar-bandar besar seperti bandar raya Kuala Lumpur yang padat dengan aliran trafik.
Pelepasan sebatian organik meruap (Volatile Organic Compounds, VOCs) dan oksid-oksid nitrogen (NOx) daripada ekzos kenderaan bermotor bertindakbalas secara semulajadi di bawah pengaruh cahaya matahari menghasilkan ozon di permukaan bumi (O3) dengan kepekatan yang tinggi.
Kepekatan ozon di permukaan bumi (O3) yang tinggi ini tidak berpanjangan dan berlaku dalam tempoh satu (1) hingga dua (2) jam sahaja. Oleh itu, fenomena ini telah menyebabkan kualiti udara di kawasan bandar-bandar besar yang padat dengan trafik menjadi tidak sihat untuk sesuatu tempoh yang singkat.
Pada hari ini, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan pada jam 10 pagi menunjukkan sebanyak 33 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, manakala sebanyak 19 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana. Tiada kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat .
Maklumat terperinci bacaan IPU mengikut lokasi-lokasi stesen pengawasan adalah seperti di LAMPIRAN 1 (http://mrem.bernama.com/mrembm/pdf/6990.pdf) . Maklumat status kualiti udara dan bacaan IPU setiap jam boleh didapati melalui laman web kami di alamat http://www.doe.gov.my
Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan sentiasa memantau dengan rapi perkembangan status kualiti udara dari semasa ke semasa dan akan memaklumkan sebarang perubahan signifikan yang berlaku.
TINDAKAN
Berikutan cuaca panas dan kering, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telahpun mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri.
Selain daripada itu Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara dan jerebu.
JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri.
Berdasarkan siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada tahun ini sehingga 5 Februari 2014, sebanyak 137 kes pembakaran terbuka telah dikesan iaitu pembakaran terbuka melibatkan kawasan hutan (27 kes), kawasan pertanian (61 kes), kawasan industri (6 kes), kawasan pembinaan (6 kes), kawasan belukar (31 kes) dan lain-lain pembakaran terbuka kecil (6 kes). Bagi tempoh yang sama, sebanyak 35 kes pembakaran terbuka telah dikenakan tindakan kompaun dan 6 kes telah dikeluarkan Notis Amaran.
NASIHAT / MAKLUMAN
Orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.
SUMBER: Jabatan Alam Sekitar, Malaysia / Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar (NRE)
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
NAMA : Mohd Haizul bi Hod
Unit Komunikasi Korporat (UKK)
TEL : 03-8886 1585 (DL)
FAKS : 03-8889 4763
EMEL : haizul@nre.gov.my
- BERNAMA

0 comments:
Post a Comment