KALAU sudah jelita dan berimej baik, siapa yang tak teringin untuk menyunting sebagai suri hidup. Itulah yang dilalui penyanyi, pelakon, pengacara dan pembimbing motivasi jelita, Nur Heliza Helmi.
Walaupun gadis manis yang mesra dengan sapaan Heliza ini cukup menjaga keperibadian dirinya daripada dihimpit kisah sensasi, namun dia masih tak mampu lari dari lumrah hidup sebagai artis.
Tujuh tahun menceburi bidang seni, Heliza, 28, nyata sudah berada dalam kelasnya tersendiri. Apatah lagi, biar pun bukan populariti menjadi keutamaannya tetapi anak jati Terengganu ini masih menjadi perhatian ramai.
Justeru, berbicara mengenai dirinya yang tiba-tiba saja dikaitkan dengan ‘kisah cinta’ tak diundang, Heliza berkata, semuanya sudah pun berlalu dan tidak perlulah dia membuka kisah itu lagi.
“Apa yang saya boleh katakan, banyak hati dan perasaan yang perlu dijaga. Oleh itu, biarlah dan lebih baik saja saya tidak lagi mengeluarkan sebarang komen mengenainya. Saya perlu berhati-hati dalam setiap tutur kata.
“Ini kerana, saya tidak mahu memanjangkan lagi cerita. Soal jodoh biarlah Allah SWT yang menentukan. Sebagai manusia dan hamba-Nya, saya hanya mengikut takdir ditetapkan.
“Hanya doakan yang terbaik buat saya. Malah, pada masa sekarang, selain karier masih banyak perkara yang perlu saya berikan tumpuan terutama ibu bapa dan keluarga,” katanya yang dilahirkan menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5).
Heliza sebelum ini dikatakan bercinta dengan seorang komposer lagu-lagu nasyid popular.
Makin dikenali dengan single istimewa La Tahzan bermaksud Jangan Bersedih hasil ciptaannya ketika berkunjung ke Gaza, Palestin, Heliza berkata, ia adalah lagu untuk motivasi diri.
Katanya, terlalu banyak pengalaman berharga diperoleh ketika berada di Gaza yang mengajarnya supaya tidak mudah bersedih atau putus semangat apabila menerima ujian daripada Allah.
“Kecekalan hati dengan keyakinan bahawa tidak perlu menangis kerana Allah sentiasa ada di sisi membuatkan saya belajar erti ketabahan. Dalam hidup ini, sebenarnya Allah sudah merancang yang terbaik untuk hamba-Nya.
“Cuma, selaku manusia yang tidak sempurna ada kalanya kita tidak sedar. Jadi, apa yang saya lakukan kini adalah lebih ke arah mengingatkan diri sendiri dan pada masa sama ilmu itu dikongsi juga dengan orang lain,” katanya.
Menurut Heliza yang sentiasa terbuka untuk belajar perkara baru, dia selesa dengan jalan hidup yang dilaluinya sekarang ini.
Katanya, apa yang dilakukan adalah lebih dulu memperbaiki kelemahan diri sendiri.
Masih aktif lagi dalam lakonan, Heliza berkata, dia bersyukur dengan rezeki ditetapkan Tuhan untuknya. – Harian Metro
0 comments:
Post a Comment