Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, May 12, 2014

No Comment

PUTRAJAYA – Semua agensi berkaitan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani diarah membuat persediaan segera termasuk berbincang untuk menambah import bekalan beras jika fenomena El Nino melanda.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun fenomena itu hanya ramalan, pelbagai strategi perlu dirangka bagi memastikan bekalan makanan mencukupi selain menjaga kebajikan petani, penternak dan nelayan.

“Jika ramalan ini tepat, kesan agak besar kepada industri pertanian khususnya padi kerana ia memerlukan air bertakung untuk memulakan tanaman,” katanya dalam sidang akhbar di sini

Bagaimanapun, beliau berkata bekalan air untuk penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dijangka tidak terjejas kerana bekalan air dan sistem pengairan yang baik serta mencukupi.

“Di kawasan luar jelapang yang tiada pengairan baik mungkin akan terjejas. Kalau padi mula tanam sewaktu Jun kita buat keputusan Lembaga Pertubuhan Peladang akan panggil semua pengerusi pertubuhan peladang berkaitan untuk bincang strategi mungkin perlu penjadualan semula tanaman padi supaya tidak ditanam pada musim kering,” katanya.

Sebelum ini Pejabat Kaji Cuaca United Kingdom meramalkan kemungkinan besar fenomena El Nino, yang mengakibatkan peningkatan suhu dan taburan hujan, akan melanda rantau Asia Tenggara pertengahan tahun ini.

Pakar kaji cuaca tempatan belum dapat memastikan bahawa Malaysia akan mendapat tempias El Nino pada kali ini namun jika ia berlaku, kemungkinannya ialah Malaysia akan menghadapi keadaan musim kemarau berpanjangan selama enam bulan mulai pertengahan tahun ini.

Mengenai bekalan ikan, Ismail Sabri berkata Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia diarah menyejuk beku ikan untuk bekalan semasa El Nino.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan menghentikan pengeksportan ikan supaya bekalan dalam negara mencukupi.

Selain itu Ismail Sabri berkata sektor penternakan juga perlu bersiap sedia menghadapi fenomena itu dengan menyediakan stok makanan secukupnya untuk haiwan ternakan.

“Saya harap rakyat tidak bimbang kerana bekalan akan mencukupi. Bagi peladang, penternak dan nelayan juga kita akan jaga kebajikan mereka supaya tidak mendapat kesan buruk El Nino,” katanya.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment