Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Sunday, May 11, 2014

No Comment

KOTA BHARU – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) menggesa kerajaan meletakkan penyalahgunaan daun ketum dalam akta dadah sebagai usaha membanteras gejala itu.

Timbalan Yang Dipertua Pemadam Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz berkata hukuman berat harus dikenakan sebagai pencegahan terhadap penyalahgunaan daun ketum yang kini semakin serius.

“Undang-undang berkenaan daun ketum ini dah ada tetapi ia diletakkan di bawah Akta Racun, jadi undang-undang itu tidak tegas dalam usaha kita untuk membanterasnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Membanteras Dadah Negara Islam Peringkat Zon Pantai Timur yang disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua Pemadam merangkap Pengerusi Pemadam Kelantan Datuk Abdul Fattah Mahmood di sini, hari ini.

Mohd Najib berkata pihaknya sudah beberapa kali menghantar memorandum kepada kerajaan supaya memasukkan penyalahgunaan daun ketum di bawah akta dadah atau diwujudkan undang-undang khas.

“Kita difahamkan pihak kerajaan Persekutuan telahpun merangka undang-undang berkenaan isu tersebut dan kita tidak tahu bila perkara tersebut akan dibawa ke Parlimen.

“Negeri-negeri pula harus mengeluarkan fatwa dengan mengatakan penggunaan daun ketum ini adalah haram. Setakat ini, hanya Perlis sahaja yang telah memfatwakan penggunaan ketum adalah haram,” katanya.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata pelbagai pendekatan telah diambil bagi membendung penagihan dadah di Pantai Timur memandangkan jumlah penagih berada pada tahap membimbangkan.

“Kita turun ke sekolah-sekolah menengah bersama-sama pihak Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK), pihak sekolah, dan jabatan pendidikan negeri untuk melakukan ujian air kencing supaya mereka berhati-hati dan memberi kesedaran kepada ibu bapa.

“Kita mendapat kerjasama yang baik daripada pihak polis dan AADK, setelah operasi ini dijalankan, Alhamdulillah ia menunjukkan kesan yang positif,” katanya.

Sumber: Bernama

0 comments:

Post a Comment