PULAU PINANG – “Itu memang kerja dia. Semua orang dia suruh letak jawatan,”
Itu respon segera Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Khalid Abu Bakar mengenai kenyataan Mat Sabu yang mendesak Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi letak jawatan kerana gagal menangani insiden rempuhan pagar Dewan Undangan Negeri di sini baru-baru ini.
Bagi insiden itu, Abdul Khalid berkata, sebanyak 25 keterangan telah diambil bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung penahanan 12 orang sebelum ini.
Malah, polis turut menerima beberapa laporan polis berhubung insiden itu dan kesemuanya dibuat dalam negeri itu.
“Ada beberapa laporan polis diterima, hanya di negeri ini sahaja dan 12 individu yang bertanggungjawab telah ditahan kerana bertindak melakukan kekecohan dan merempuh pagar DUN.
“Lebih 25 percakapan telah dirakam setakat ini dan kita masih jalankan siasatan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan 12 individu tersebut yang hanya didakwa atas kesalahan kecil, Khalid menjelaskan kes itu disiasat di bawah tiga seksyen.
“Sebenarnya kita guna tiga seksyen dalam siasatan kes ini termasuk Seksyen 448 dan jangan ingat kita tak beri perhatian serius. Kita akan ambil tindakan ikut perundangan yang ada.
“Dalam bab ini, kita tahu apa yang terbaik serta seksyen apa yang perlu digunakan untuk siasatan,” katanya.
Terdahulu, Khalid juga menyifatkan kempen PRK Parlimen Bukit Gelugor sebagai proses aman yang sedang berlaku di negeri Pulau Pinang tanpa melibatkan sebarang kejadian jenayah besar setakat ini.
Khalid berkata, sejak hari penamaan calon sehingga hari ini proses kempen dan segala ceramah ahli dan calon parti Politik bertanding berjalan lancar dan cipta sejarah sebagai pemilihan aman tanpa sebarang kejadian buruk sehingga kini.
“Saya berpuas hati dengan segala persiapan yang telah dilakukan polis negeri ini dan kita mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk mengawal proses kelancaran dan keselamatan pada 25 Mei ini.
“Kita telah bersiap sedia menghadapi segala kemungkinan cuma nasihat saya kepada calon supaya berhati hati sebelum mengeluarkan apa apa ucapan dan kenyataan..fikir dua tiga kali dahulu apa yang hendak dicakap, yang boleh menggugat keselalamatan.
Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja sempena persediaan PRK Bukit Gelugor ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pagi tadi.
Dalam perkembangan yang sama, Khalid berkata, keadaan minggu pertama kempen PRK kali ini terkawal.
Malah katanya, Abdul Rahim telah mengadakan rundingan bersama beberapa pihak termasuk politik dan keadaan terkawal dan keselamatan terjamin.
Menyentuh mengenai PRK, beliau berkata, sebanyak 15 laporan polis telab diterima pihaknya sejak hari penamaan calon pada 12 Mei lalu sehingga hari ini manakala daripada jumlah laporan tersebut katanya lagi sebanyak empat kertas siasatan melibatkan kesalahan kecil atau minimum dan disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Sumber: Malaysia Gazette

0 comments:
Post a Comment