Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, June 12, 2014

No Comment

Ikuti kisah kehebatan Sultan Muhammad Al-Fateh dan Tenteranya Dalam Penaklukan Konstantinopel. - SiakapKeli.com


Sabda Rasulullah SAW ketika menggali parit dalam peperangan Khandaq:
“…Konstantinopel (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera…” (Hadis riwayat Imam Ahmad)
Hadith di atas pastinya merupakan hadith masyhur yang tidak asing lagi dikalangan kita dan ia merupakan antara mukjizat Rasulullah SAW ketika dalam persediaan menghadapi perang Khandak. Mukjizat itu diterima ketika mana Rasulullah sedang menggali parit bersama para sahabat dan terdapat batu besar yang menjadi penghalang penggalian ketika itu. Batu itu kemudiannya dipecahkan dengan tiga kali pukulan yang disertai dengan percikan yang mana antara tiga percikan itu, Rasulullah S.A.W mendapat 3 bayangan dan antaranya ialah kota Konstantinopel akan dibuka oleh tentera Islam. Dan ramalan ini telah dirakamkan setelah 825 tahun kota Konstantinopel berada dalam tangan orang kafir pada tarikh serangan tentera Sultan Muhammad Al-Fateh dilakukan dan tempat berlaku yang bertempat kira-kira 5000km jauhnya daripada kota Madinah.

Jika disebut Sultan Muhammad Al-Fateh pasti sahabat-sahabiah sekalian mengaitkan beliau dengan kota Konstantinopel atau dikenali sebagai Istanbul ketika ini. Beliau pastinya dikagumi oleh semua orang tidak kira bangsa atau agama. Tetapi sebagai ummat Islam,yang mempunyai ramai panglima hebat dikalangannya,adakah kita benar-benar mengenali beliau? Atau sekadar mengenali namanya sahaja?

Siapa Sultan Muhammad Al-Fateh?


Sultan Muhammad Al-Fateh atau nama sebenarnya Sultan Muhammad dilahirkan di Edirne pada 29 Mac 1432 Masihi. Merupakan Sultan yang ketujuh daripada kerajaan Uthmaniyah. Beliau sangat terkenal dengan sifatnya yang tenang, pendiam, sabar, berani, tegas dan sangat cintakan ilmu. Beliau juga merupakan seorang yang sangat tawwaduk sehingga para ulama serta para pemimpin begara ikut serta dalam membina Benteng Bereli Hassan apabila melihat beliau sama-sama membuka serban dan bajunya untuk mengangkat batu dan pasir.

Kehebatan beliau terserlah dengan menguasai pelbagai ilmu dalam pelbagai bidang antaranya seperti ketenteraan, sains, kejuruteraan, falsafah dan matematik. Beliau juga menguasai enam bahasa yang berbeza iaitu Arab, Latin, Greeek, Serbia, Turki dan Parsi. Hal ini menunjukkan betapa penguasaan otak kiri perlu sama hebat dengan penggunaan otak kanan agar segala jenis ilmu dapat dikuasai dengan baik dan  bukan hanya tertumpu kepada satu-satu bidang sahaja.

Namun untuk menghasilkan pemimpin sehebat beliau memerlukan satu  ramuan yang sangat hebat.

Al-Quran dan Sunnah : Ramuan dan Formula Kehebatan

Bapanya Sultan Murad telah menjadikan Al-Quran sebagai asas utama dalam mendidik Sultan Muhammad Al-Fateh. Hal ini kerana untuk menjadi seorang yang hebat mestilah bermula dengan hafazan Al-Quran. Penjanaan intergriti seseorang terhasil dengan konsep dosa dan pahala yang diterangkan dalam Al-Quran yang mana menjadi asas kepada syariat sunnahtullah. Betapa perlunya Al-Quran itu dijadikan asas dalam hidup kita manakala Usuluddin bertindak sebagai akar, Syariah sebagai batang dan akhlak sebagai daun serta buah.

Mempunyai guru yang hebat juga mempunyai pengaruh yang besar dalam usaha melahirkan panglima sehebat Sultan Al-Fateh. Oleh itu bapanya memastikan Sultan Al-Fateh mendapat ajaran daripada kalangan tenaga pengajar yang terbaik pada ketika itu seperti Al-Syeikh Muhammad daripada Al-Azhar. Sultan Murad juga tidak berkompromi dalam mendidik Sultan Al-Fateh dengan membenarkan penggunaan rotan digunakan dalam teknik pembelajaran bagi menghasilkan disiplin yang mantap. Seseorang raja yang hebat mestilah juga mempunyai wawasan yang tinggi agar masa tidak terbuang terhadap perkara-perkara yang tidak memberi manfaat.

Oleh itu semenjak kecil lagi ibunya,Huma Hatun telah bertindak dengan membawa Sultan Al-Fateh ke atas bukit berdekatan dengan Kota Konstantinopel semenjak umur beliau 4 tahun bagi menanam wawasan yang jelas dalam diri beliau bahawa suatu hari nanti beliau akan mampu menguasai Kota Konstantinopel dan ini menjadikan Sultan Muhammad Al-Fateh sebagai seorang yang mempunyai matlamat yang jelas untuk dikecapi. Seperti kata-kata antara manusia yang terkaya di dunia, Bill Gates;

 ‘If you have a clear vision,you will have no time to take breakfast’

Jadi sebagai seorang pelajar perubatan,apakah matlamat kita dalam 10 tahun yang akan datang dan mampukah kita merealisasikan matlamat tersebut? Di sini juga dapat dibuktikan betapa pengaruh ibu bapa sebenarnya sangat memberi impak yang besar dalam melahirkan peribadi anak yang hebat selain pengaruh persekitaran dan sahabat yang hebat. Sultan Murad juga pernah melantik Sultan Muhammad Al-Fateh supaya memimpin sebuah pulau kecil yakni Pulau Magnesia pada umur beliau 12 tahun!

Hal ini kerana Sultan Murad ingin melihat bagaimana Sultan Al-Fateh belajar untuk membuat keputusan serta belajar untuk berdikari. Oleh sebab itu kita digalakkan untuk menyertai persatuan kerana hanya di sini sahaja tempat untuk kita mendapat ilmu seperti itu. Di Magnesia juga beliau sentiasa ditemani gurunya yang paling disayangi iaitu Syeikh Shamsudin Al-Wali yang mengajar beliau menguasai pelbagai ilmu. Beliau diajar untuk menguasai bukan sekadar ilmu teori semata-mata malah ilmu secara praktikal juga dikuasai dengan baik.

Usaha Sultan Muhammad Menakluki Kota Konstantinopel


Beliau memulakan misi penaklukan Kota Konstantinopel pada umur 21 tahun, dua tahun selepas dilantik menjadi sultan oleh bapanya. Walaupun sebelum beliau terdapat 12 kali percubaan telah dilakukan dalam merobohkan Empayar Byzantine dan antara pemimpin-pemimpin yang berkobar-kobar untuk merealisasikan ramalan Rasulullah SAW adalah seperti Yazid bin Muawiyah yang telah melakukan tiga kali percubaan, Harun Ar-Rashid yang mengejutkan kerajaan Rom dengan kehebatan beliau, serta Muawiyah bin Abi Suffian.

Abu Ayyub Al-Ansari RA yang merupakan antara sahabat Rasulullah juga tidak ketinggalan dalam melakukan percubaan menakluk Kota Konstantinopel pada usianya 86 tahun. Beliau merupakan salah seorang sahabat Nabi yang tidak pernah ketinggalan untuk menyertai peperangan menentang orang kafir dan merupakan pemegang panji tentera Islam. Selama 5 tahun beliau mengepung Kota Konstantinopel yang mana usahanya menyumbang kepada pengecilan empayar tersebut daripada saiz XL menjadi saiz S ketika era Sultan Muhammad Al-Fateh.

Abu Ayyub Al-Ayyubi juga mewasiatkan agar jasadnya diwafatkan di bawah tembok yang paling hampir dengan tembok Kota Konstantinopel agar dirinya menjadi motivasi kepada generasi seterusnya supaya segera membebaskan Kota Konstantinopel jika tidak mahu melihat kuburnya terus dipijak-pijak oleh tentera Rom. Lokasi kuburnya juga telah dapat dikesan oleh guru Sultan Al-Fateh yakni Syeikh Shamsudin melalui mimpi beliau.

Sebelum serangan ke atas Kota Konstantinopel dilakukan,Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri pernah menyamar untuk menyeludup masuk ke dalam kota tersebut. Usaha ini bertujuan mengenal pasti selok belok kota tersebut serta mencari sendiri kekuatan serta kelemahan kota milik Empayar Byzantine. Strategi yang akan dilancarkan terhadap tentera Rom ini mengandungi strategi daripada peperangan oleh Rasulullah SAW dan Salahuddin Al-Ayyubi kerana dua ikon hebat ini antara tempat rujukan yang paling disanjungi oleh Sultan Al-Fateh.

Sultan Muhammad Al-Fateh melakukan percubaan untuk menakluki Kota Konstantinopel dalam masa hampir dua bulan. Bersama-sama beliau adalah sebaik-baik tentera sepanjang zaman yang berjumlah seramai 150 ribu orang. Selain daripada itu beliau juga mempunyai teknologi perang yang hebat yang mana beliau sendiri telah mereka bentuk meriam gergasi sebagai alat perang. Sebanyak 69 biji meriam telah dibawa bersama dalam bentuk pelbagai saiz dan empat daripadanya dalam bentuk gergasi yang mampu menembusi tembok Kota Konstantinopel sedalam dua meter daripada empat meter saiz keseluruhan.

Tembok itu yang mempunyai empat lapisan, setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki itu telah dikepung oleh tentera Islam selama 53 hari. Usaha yang dilakukan secara berterusan itu tanpa menunjukkan sebarang hasil kejayaan telah membuatkan tentera Islam berasa sedikit lemah. Lebih-lebih lagi setelah tentera Islam mendapat berita bahawa armada laut tentera Islam telah kalah setelah mendapat tentangan yang hebat oleh tentera laut Byzantine. Lalu Sultan Muhammad Al-Fateh menyuruh untuk siapa-siapa daripada kalangan pegawainya yang melemahkan semangat tenteranya dipecat.

Semangat beliau juga semakin teruji apabila mendapat desakan daripada pihak tenteranya agar berundur setelah percubaan demi percubaan telah gagal dilakukan ditambah pula dengan berita bahawa kerajaan Rom semakin kuat setelah mendapat bantuan daripada Pope Vatican. Ketika inilah peranan seorang guru yang sangat mengasihi Sultan Muhammad Al-Fateh yakni Syeikh Shamsudin yang juga merupakan wali Allah dalam membangkitkan semangat Sultan Al-Fateh dengan mengirimkan sepucuk surat buat beliau.

Beliau memberi semangat pada beliau dengan menyuruh beliau meneruskan tentangan. Syeikh Shamsudin juga memberitahu bahawa beliau telah mendapat mimpi daripada Allah ta’ala bahawa Kota Konstantinopel akan ditawan pada bulan Mei. Syeikh Shamsudin juga sebenarnya telah digelar sebagai Al-Fateh Al-Ma’nawi iaitu Al-Fateh yang sebenar kerana sumbangan beliau terhadap perjuangan pembukaan Kota oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.

Tekanan yang diterima ini juga sebenarnya merupakan suatu ujian daripada Allah ta’ala yang ingin menguji tentera Islam,kepada siapakah sebenarnya penggantungan mereka yang sebenar-benarnya.Selain itu dengan kehadiran suatu tekanan juga akan mampu menyerlahkan lagi potensi paling tinggi dalam diri kita.Selepas itu,semangat Sultan Al-Fateh kembali melonjak dan beliau telah membuat satu keputusan yang mengejutkan semua pihak.Sebanyak 72 kapal kecil di bahagian armada laut telah diangkut naik ke gunung sebelum diluncurkan kembali ke perairan Teluk Golden Horn hanya dalam satu malam sahaja.

Strategi ini diakui sebagai antara strategi peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh sejarawan Barat sendiri dan beliau juga digelar ‘Grand Seigneur’ iaitu ‘pemimpin agung’. Kapal-kapal ini dipastikan agar sampai menjelang subuh kerana selepas solat Subuh yang dilakukan secara berjemaah yang mana Sultan Al-Fateh sendiri menjadi imam. Serangan daripada tentera Islam dilakukan dengan dua kali ganda berserta serangan mengejut oleh bedilan-bedilan meriam di bahagian tembok belakang kota oleh kapal-kapal kecil yang diangkut tadi. Perkara ini memberikan satu impak besar buat kerajaan Byzantine kerana bagi mereka belakang kota merupakan bahagian yang paling selamat dan kehadiran kapal tentera Islam dibahagian perairan teluk benar-benar di luar jangkaan.

Melihat kepada tentera beliau yang semakin lemah,lantas beliau bertitah kepada tenteranya,beliau berkata;

“Wahai tenteraku,aku kini sudah bersedia untuk mati syahid di jalanNya dan sesiapa yang ingin turut sama mati syahid bersamaku,marilah mengikutiku!”
Mendengar kepada titah tersebut, sahabat baik beliau sendiri iaitu Hassan Ulubate yang sering menjadi teman berlawan pedang semenjak kecil lagi mengetuai seramai 30 orang tentera Islam menyerbu masuk ke dalam kubu musuh dan berserta 8 anak panah yang tertusuk di badan Hassan ditambah pula dengan ratusan libasan pedang. Hassan yang juga merupakan pemegang panji tentera Islam pada ketika itu akhirnya berjaya mendaki ke kawasan atas bukit untuk menukarkan panji tentera Rom kepada panji tentera Islam sebelum mati syahid pada akhirnya.

Melihat kepada perkara itu, tentera Islam akhirnya dengan penuh semangat berpusu-pusu memecah masuk ke dalam kubu musuh sambil melaungkan Allahu Akbar. Pada tanggal 29 Mei 1453 Kota Konstantinopel akhirnya berjaya ditawan oleh kerajaan Islam dan nama Konstantinopel telah ditukarkan menjadi Istanbul (Islam keseluruhannya). Sultan Muhammad Al-Fateh juga telah melumurkan pasir ke mukanya selepas melakukan sujud syukur di atas pembukaan kota tersebut dan pembukaan ini juga telah menyebabkan beliau digelar sebagai Al-Fateh yang membawa maksud pembukaan.

Sebaik-baik Raja,Sebaik-baik Tentera

Gereja Saint Sophie juga telah ditukar menjadi masjid Hayyat Sofia dan semasa ingin melakukan solat Jumaat pertama,timbul persoalan siapakah yang harus menjadi imam. Lantas beliau memilih dengan menanyakan soalan kepada tenteranya;

“Sesiapa yang di antara kamu semua yang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali,silakan duduk!’’

Namun tiada seorang pun dalam kalangan tentera beliau yang duduk kerana tidak pernah meninggalkan solat fardhu walau hanya sekali semenjak dari kecil. Kemudian beliau menanyakan lagi kepada para tenteranya,

“Sesiapakah yang antara kamu pernah meninggalkan solat rawatib walau sekali,silakan duduk!’’

Sebahagian daripada tentera beliau kemudiannya duduk.Manakala soalan yang terakhir yang diajukan oleh beliau;

“Sesiapakah yang antara kamu pernah meninggalkan solat sunat tahajud walau sekali,silakan duduk!’’

Semua ahli tentera beliau akhirnya duduk dan hanya Sultan Muhammad Al-Fateh sahajalah yang tinggal seorang sahaja berdiri. Hal ini membenarkan ramalan Rasulullah SAW,bahawa sebaik-baik raja hanyalah benar-benar layak disandang oleh beliau.

Kesimpulan

Sultan Muhammad Al-Fateh bukan sahaja idola kita, tetapi segala ajaran serta peribadi beliau juga seharusnya dijadikan motivasi buat kita semua demi melahirkan Muhammad Al-Fateh yang kedua. Kegemilangan Islam bukan sekadar cita-cita yang hanya bermain di bibir mulut sahaja namun perlu dibuktikan sama dengan mujahadah yang bersungguh-sungguh.

“The past should give us hope!”

 Sama-samalah kita berusaha melahirkan Sultan Muhammad Al-Fateh dalam diri kita!


Ditulis oleh:

Fatin Inani binti Mohd Noh,

Tahun 2 Pergigian,

Unversiti Iskandariah.

Sumber: iskandariah.perubatan.org

0 comments:

Post a Comment