Gadis Retak Kaki Ditendang Ketika Mengikuti Kursus Asas Tentera Darat
ALOR GAJAH 31 Julai - Seorang gadis, Siti Munirah Mohd. Fuad, 21, mendakwa tulang kaki kirinya retak akibat ditendang seorang jurulatih wanita ketika mengikuti kursus asas Tentera Darat di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, Negeri Sembilan, Mei lalu.
Lebih malang, graduan jurusan Pembangunan Islam dan Pembangunan Sumber Manusia, Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) itu turut mendakwa diberhentikan daripada menjalani Latihan Perajurit Muda Wanita Pengambilan 36/2014 tanpa sebab yang munasabah.
Menurutnya, walaupun telah mengikuti latihan sejak mengangkat sumpah sebagai perajurit muda pada 11 April lalu, sehingga kini bayaran gaji serta pampasan akibat keretakan tulang yang dialami belum diterima.
"Seminggu sebelum kejadian saya mengalami sakit akibat ketegangan urat di bahagian kaki kiri dan telah diberi sijil cuti sakit oleh doktor selama seminggu.
"Sebaik sahaja memulakan latihan iaitu pada 31 Mei lalu kira-kira pukul 7.15 pagi saya telah ditanya oleh jurulatih wanita itu dan memaklumkan kepadanya kaki saya sakit dan tidak dapat meneruskan latihan selama seminggu, malangnya dia telah menendang kaki kiri saya sebanyak dua kali di hadapan rakan-rakan dengan kasut sukan yang dipakainya.
"Akibat daripada itu, keesokan harinya kira-kira pukul 4 pagi ketika hendak mengikuti kuliah subuh, kaki saya berasa amat sakit sehingga saya menangis kerana tidak dapat bangun dan apabila mendapatkan rawatan, doktor mengesahkan tulang kaki kiri saya mengalami keretakan dan telah dibawa ke Hospital Port Dickson untuk disimen," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Taman Sri Aman, Masjid Tanah di sini hari ini.
Laporan polis telah dibuat oleh Siti Munirah pada pukul 11.32 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Masjid Tanah pada 26 Jun lalu.
Anak kedua daripada lima beradik itu memberitahu, ketika diberhentikan pada 13 Jun lalu, dia masih di bawah pengawasan doktor dan telah diberi sijil cuti sakit selama 29 hari antara 11 Jun sehingga 9 Julai lalu.
Katanya, keputusan diberhentikan dibuat oleh Lembaga Pemberhentian Kedua yang bersidang pada 4 Jun lalu atas alasan dia tidak cergas iaitu mengalami masalah kesihatan dan tidak mampu menjalani latihan ketenteraan yang memerlukan ketahanan mental dan fizikal.
"Saya tidak diberi peluang untuk sembuh dahulu dan kaki saya retak disebabkan disepak oleh jurulatih, tidak adil memberhentikan saya tanpa mendapat laporan kesihatan daripada doktor setelah saya sembuh.
"Saya tidak puas hati terhadap tindakan mereka yang tidak mahu bertanggungjawab atas kecederaan saya, lebih-lebih lagi memberhentikan saya dalam keadaan masih dalam cuti sakit," katanya.
Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohd. Fuad Abu Bakar, 48, berkata, tindakan memberhentikan anaknya itu dianggap telah dilakukan tanpa mengikut prosedur yang sewajarnya.
"Apa yang saya sedih, tiada seorang pegawai pun yang datang bertemu saya menceritakan hal yang berlaku terhadap anak saya, malah pada hari saya mengambil anak di asramanya, tiada seorang pun pegawai yang datang meminta maaf.
"Saya juga bekas tentera, saya faham latihan ketenteraan yang agak kasar namun, tidaklah sampai mencederakan anak saya sehingga dibuang sebegini tanpa sebarang pembelaan," katanya.
Kata pesara tentera itu, sejak anaknya menyertai latihan tersebut tiada sebarang gaji dibayar kepada anaknya sehingga kini, sebaliknya anaknya hanya menerima RM100 pada April lalu. - Utusan Melayu
0 comments:
Post a Comment