Ukraine: NATO Beri Amaran Kepada Rusia
BRUSSELS – NATO hari ini memberi amaran kepada Russia berhubung apa yang ia sifatkan sebagai “pencabulan terang-terangan” kedaulatan Ukraine selepas Barat menuduh Moscow terbabit secara langsung dalam konflik itu.
NATO menyatakan Russia sudah mengerah anggota tentera untuk berperang di Ukraine dan membekalkan banyak senjata berat kepada pemberontak pro-Kremlin yang disifatkan Kiev sebagai satu pencerobohan.
“Ini bukan satu tindakan terpencil tetapi sebahagian daripada perkembangan bahaya sejak beberapa bulan lalu bagi menghuru-harakan Ukraine sebagai negara berdaulat,” kata Ketua Setiausaha NATO, Anders Fogh Rasmussen yang menyifatkan pengerahan tentera Russia ke sempadan sebagai “pencabulan terang-terangan” kedaulatan Ukraine.
“Kami menggesa Russia menamatkan tindakan ketenteraan tidak sah itu, menghentikan sokongan persenjataan kepada puak pemisah dan mengambil tindakan segera serta langkah betul bagi mengendurkan krisis buruk ini,” katanya.
Kiev dan Barat menyatakan tentera Russia kini mengetuai serangan balas pantas yang menyaksikan pemberontak menawan kawasan yang luas di wilayah tenggara Ukraine daripada tentera kerajaan.
Presiden Russia, Vladimir Putin, sudah beberapa kali menafikan Moscow bertanggungjawab memburukkan lagi konflik itu atau menghantar anggota tentera ke negara bekas Soviet itu. – AFP
0 comments:
Post a Comment