Seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010.
Timbalan Menteri berkenaan, Heng Seai
Kie berkata, daripada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan
41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).
Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan
Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menjalin kerjasama strategik
dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasikan pendidikan
kesihatan reproduktif dan sosial.
“Program itu telah melibatkan 64,000
remaja mengenai pendidikan dan risiko yang terpaksa ditempuhi kerana
tindakan mereka,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Mohd Jidin Shafee
(BN-Setiu) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Mohd Jidin ingin tahu jumlah anak luar
nikah yang direkodkan sejak 2008, punca masalah dan inisiatif
kementerian untuk membendung gejala itu.
Heng berkata, enam pusat remaja telah
ditubuhkan untuk golongan sasar berumur antara 13 dan 24 tahun bagi
memberi maklumat berkaitan isu psikososial termasuk menyediakan khidmat
kaunseling dan kemahiran hidup.
“Program ‘outreach’ yang dilakukan di
sekolah dan komuniti setempat itu berjaya mendekati 257,147 remaja
melalui 4,698 program dari November 2005 hingga September 2011,”
katanya.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah
Abdul Rashid Shirlin pula memberitahu dewan bahawa 24,813 orang
dimasukkan ke hospital kerajaan kerana masalah berkaitan mental tahun
lepas.
“Setakat ini kita ada empat institusi
mental di seluruh negara, 42 hospital kerajaan yang menyediakan
perkhidmatan rawatan mental dan 124 pakar dalam bidang tersebut,”
katanya kepada soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (PAS-Pengkalan
Chepa).
Rosnah berkata usaha sedang dijalankan
bagi meningkatkan kesedaran awam serta kepekaan masyarakat untuk
mengenal pasti tanda-tanda awal dan mereka yang berpotensi mendapat
rawatan awal.
0 comments:
Post a Comment