Musim cuti sekolah sudah pun bermula. Pastinya ramai di antara kita
menerima banyak undangan ke majlis perkahwinan tidak kiralah dari
sahabat handai mahu pun saudara-mara sendiri.
Bercakap mengenai perkahwinan, perkara pertama yang akan didahulukan
atau dititik beratkan sebelum merancang majlis perkahwinan adalah
penetapan nilai wang hantaran.
Kalau dahulu, nilai wang hantaran ditetapkan mengikut kemampuan pihak
lelaki asalkan tidak rasa terbeban untuk menyediakannya kepada pihak
perempuan.
Namun, di zaman sekarang, semuanya nyata terlalu berbeza.
Sejajar dengan perubahan masa dan taraf pendidikan, ibu bapa sekarang
ini sudah ‘berani’ meletakkan nilai wang hantaran yang tinggi kepada
bakal menantu lelaki sekiranya ingin menikahi anak perempuan mereka.
Sekarang ini juga, kajian mengenai penetapan nilai wang hantaran yang
diberikan kepada pihak perempuan mengikut taraf akademik juga dibuat di
laman Facebook. Antara nilainya:
- UPSR & PMR : RM2,000 – RM4,000
- SPM : RM4,000 – RM8,000
- STPM & DIPLOMA : RM8,000 – RM12,000
- IJAZAH : RM12,000 – RM15,000
- IJAZAH SARJANA : RM15,000 – RM20,000
- IJAZAH KEDOKTORAN : RM20,000 – RM30,000
- SPM : RM4,000 – RM8,000
- STPM & DIPLOMA : RM8,000 – RM12,000
- IJAZAH : RM12,000 – RM15,000
- IJAZAH SARJANA : RM15,000 – RM20,000
- IJAZAH KEDOKTORAN : RM20,000 – RM30,000
Sekiranya pihak lelaki sendiri mempunyai kemampuan dan simpanan wang
yang sangat kukuh, tiada salahnya untuk meminta nilai wang hantaran yang
tinggi. Tiada salah juga kalau ingin mengadakan majlis resepsi yang
‘grand’, memakai pakaian yang mahal dan dihiasi dengan pelbagai barangan
kemas.
Tetapi, bagaimana pula kalau permintaan nilai wang hantaran yang tinggi
tidak dapat dipenuhi oleh pihak lelaki? Mampukah untuk pihak lelaki
menyediakannya?
Sebenarnya, di dalam Islam sendiri, isu mengenai perkahwinan itu terlalu
mudah. Perkara yang wajib yang perlu dipenuhi adalah pemberian Mas
Kahwin atau Mahar, manakala pemberian wang hantaran adalah adat
semata-mata.
Hantaran hanyalah tradisi atau adat yang telah berakar umbi di dalam
masyarakat kita. Sedangkan tidak ada satu dalil pun di dalam Al-Quran
mahu pun As-Sunnah yang menyatakan mesti menyediakan pemberian wang
hantaran untuk pengantin wanita.
Tidak ada apa yang dikenali kini dalam Islam dengan hantaran. Jauh
sekali istilah serba satu, serba dua, belanja hangus dan macam-macam
istilah yang hanya memeningkan kepala pengantin lelaki sahaja.
Yang wajib adalah tetap pemberian mas kahwin. Mas kahwin boleh terdiri dari emas, duit, besi atau sekadar bacaan dari Al-Quran.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Berikanlah kepada orang-orang perempuan itu mas kahwin mereka.” – An-Nisaa’; 4.
Sabda Rasulullah S.A.W pula yang bermaksud, “Sesungguhnya nikah yang
paling besar keberkatannya ialah yang paling murah (rendah) maharnya.”
HR Al-Baihaqi.
Tetapi, ramai di kalangan kita takut untuk tidak mempunyai perkahwinan
yang tidak ‘meriah’ dan ‘menarik’. Antara sebab yang dirisaukan adalah
risau dengan cakap-cakap masyarakat sekeliling, malu dengan permintaan
hantaran yang rendah, atau pun menjaga status serta mempunyai perasaan
ingin bersaing dengan orang lain.
Walhal, mengadakan walimah atau majlis sambutan adalah untuk
menghebahkan kepada umum mengenai satu ikatan yang sah sudah dijalinkan
selain ingin mengukuhkan silaturrahim dengan semua pihak.
Apakah dengan meminta wang hantaran yang tinggi akan menjaminkan majlis
yang sempurna? Tidak akan turunkah hujan ketika persandingan
dilangsungkan? Atau, apakah semua tetamu akan hadir sekiranya majlis
yang ‘grand’ dijalankan?
Perlu diingatkan, Islam itu terlalu mudah. Cuma, masyarakat kita yang
suka menyusahkan diri dengan pelbagai perkara yang tidak sepatutnya.
Akhirnya, perkahwinan yang masih awal dibebani dengan masalah hutang
yang menimbun.
Jadi, perbelanjaan untuk menguruskan perkahwinan itu tidak perlulah
terlalu mengikut nafsu sehingga membawa kepada pembaziran. Menguruskan
perkahwinan juga boleh digunakan dengan prinsip berbelanja mengikut
kemampuan.
Meletakkan nilai hantaran yang tinggi sebagai tanda ukuran hebatnya
seseorang gadis itu belum menjaminkan dirinya adalah terbaik untuk
menjadi isteri yang solehah. Nilai wang yang tinggi belum tentu juga si
isteri dapat membantu suaminya merentasi titian Siratul Mustaqim di
akhirat kelak.
Justeru itu, perbincangan yang baik perlu dijalankan secara hemah antara
pasangan agar Baiti Jannati dapat didirikan dengan sempurna di atas
dunia yang sementara ini. Wallahualam.
“Sesungguhnya wanita-wanita yang paling diberkati dan menjadi keutamaan adalah yang paling rendah mas kahwinnya.” HR Ibn Hibban
0 comments:
Post a Comment