Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, July 31, 2014

No Comment

Pertama kali bertemu dengan wanita berhati waja ini, jelas kelihatan kelembutan bukan saja pada butir bicara malah penampilannya.

Jika tiada overall hijau yang menjadi tanda pengenalan pakaian juruterbang, tentu ramai tidak menyangka yang dia bergelar juruterbang pesawat pengangkut Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Tubuhnya yang kecil langsung tidak menggambarkan jiwanya yang besar dan kental membara.

Gemar bergaul dengan lelaki dan lasak sememangnya sifat Mejar Mardiana Razali sejak di sekolah rendah. Malah dia juga ‘kaki gaduh’ terutama dengan kawan-kawan yang tidak sependapat. Lantas dia dikenali dalam kalangan rakan-rakan kerana seorang yang tegas dan tahu apa yang diinginkan. Berikan apa saja cabaran pasti disambut anak kelahiran Negeri Sembilan ini kerana sejak kecil dia sememangnya bercita-cita menjadi juruterbang.

Menceritakan lebih lanjut rentetan perjalanan kerjaya sehingga bergelar juruterbang, sebaik saja menamatkan pengajian di Sekolah Menengah Teknik Port Dickson, Mardiana terus menghantar permohonan menyertai TUDM dan terpilih menghadiri temu duga sebulan selepas itu.

“Alhamdulillah saya diterima sebagai pelajar Kolej Tentera Udara Alor Setar, Kedah bagi menjalani pengajian selama tiga tahun dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Aeronautik),” katanya.
Ketika latihan pembelajaran, bukan setakat teori sebaliknya diberi peluang merasai pemanduan sebenar pesawat. Ketika itu kekuatan mental dan fizikal sangat teruji. Walaupun diuji dengan pelbagai latihan, Mardiana menetapkan matlamat yang dia perlu menyudahkan latihan sehingga berjaya menggenggam diploma pada 2002 dan ditauliahkan sebagai Leftenan TUDM oleh Yang di-Pertuan Agong.

Sebaik saja selesai pentauliahan, Mardiana diterima sebagai kadet juruterbang dan perlu menjalani latihan selama setahun di Pusat Latihan Terbang 1 (Pulatibang 1).

“Tempoh latihan walaupun singkat, ia sangat mencabar. Ketika itu banyak kes kematian semasa menyertai latihan. Memang rasa sangat tertekan. Namun saya diberikan kata-kata semangat daripada keluarga, rakan-rakan dan jurulatih. Ini menyebabkan saya meneruskan latihan demi mencapai cita-cita sebagai juruterbang,” ujar anak kedua daripada lima beradik ini.

Menurut Mardiana, ibunya tidak pernah bersetuju dia menyertai TUDM dan bergelar juruterbang. Sesuai dengan sifat wanita, lebih baik sekiranya Mardiana menjadi guru kerana kerjaya itu lebih sesuai dan tidak perlu menanggung risiko. Oleh kerana seorang yang degil dan keras kepala, Mardiana tetap meneruskan apa yang sudah menjadi minatnya sejak kecil. Dia yakin pilihannya tepat.

Bersaing dengan kelompok juruterbang lelaki tidaklah memberikan banyak perbezaan. Ini kerana setiap tugasan dipikul tetap sama tanpa mengira jantina.

“Cuma apabila mengandung, saya ditempatkan di bahagian yang memerlukan saya berada di pejabat. Begitu juga dengan misi yang disertai melalui prosedur yang sama,” katanya.

Kemajuan serta semangat ditunjukkan wanita ini menyebabkan dia dilantik sebagai pembantu juruterbang TUDM yang biasanya digalas kaum lelaki. Untuk itu, Mardiana berperanan membantu juruterbang menentukan arah penerbangan selain memastikan keselamatan pesawat ketika dalam penerbangan.

Sepanjang tujuh tahun menjadi pembantu juruterbang, dia diberi tugas membawa pesawat pengangkut udara, Charlie 130 Hercules (C-130H), pesawat pelbagai guna yang mampu menjalankan operasi dalam pelbagai bentuk cuaca dan muka bumi.

“Sepanjang tujuh tahun bertugas di 14 Skuadron Labuan, ia memberikan satu keseronokan dan pengalaman berharga kepada saya. Apatah lagi ketika itu saya masih baru dalam dunia penerbangan,” katanya yang kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai kapten pada 2010 disusuli mejar kemudiannya.

Bersedia sertai misi mencari dan menyelamat MH17

Antara paling mencabar, ketika misi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 di Lautan Hindi Mac lalu dengan disertai 20 wartawan.

Pengalaman ini masih segar dalam ingatan dan sukar dilupakan apabila terpaksa menempuh detik cemas dalam cuaca buruk termasuk kepulan awan tebal sepanjang dua jam dalam tempoh pencarian.

“Berada dalam situasi ini saya sering ingatkan supaya memenuhi piawaian keselamatan serta melakukan yang terbaik. Ingatan ketika itu tentunya pada tiga anak di kampung, suami serta ibu tersayang. Alhamdulillah walaupun tidak berjaya menemui pesawat, saya berjaya melakukan pendaratan dengan selamat,” katanya.

Menyentuh tragedi MH17 yang terhempas di Ukraine baru-baru ini, Mardiana sangat terkejut ketika menerima perkhabaran itu menerusi telefon. Tidak tergambar perasaan kesedihan apatah lagi keluarga mangsa. Namun itu semua di luar bidang kuasa manusia. Apa yang mampu dilakukan adalah berdoa semoga semua urusan dapat dilakukan dengan lancar.

Ditanya sama ada dia akan turut serta dalam misi mencari dan menyelamat di sana, jelas Mardiana, dia bersama beberapa juruterbang yang lain dalam proses bersedia dan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan.

“Sekiranya kami diminta menyertai misi mencari dan menyelamat MH17, saya dan juruterbang lain akan mengikutinya,” katanya yang menyifatkan misi ini sedikit berbeza dan sangat mencabar.

Ini kerana jika MH370 untuk mencari pesawat yang hilang tetapi MH17 sudah diketahui lokasi pesawat serta mangsa terbabit. Sudah tentu ia menuntut kesabaran, semangat, kekuatan mental, fizikal serta emosi yang bukan sedikit kerana pasukan penyelamat perlu berhadapan dengan mangsa yang sudah terkorban.

Dalam pada itu, berada dalam negara yang sedang bergolak juga mendatangkan risiko kepada semua anggota penyelamat.

“Namun bagaimana susah dan sukar sekali pun, setiap juruterbang sudah dilatih untuk menghadapi detik cemas terutama apabila membabitkan nyawa manusia. Siapa yang tidak sedih namun semua perasaan itu harus disimpan kerana apa yang penting meneruskan operasi bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan berjaya,” ujarnya.

Sambutan Aidilfitri

Untuk tahun kedua sepanjang bertugas di Subang, Mardiana dapat berhari raya bersama keluarga tercinta di Seremban. Perasaan tentunya sangat teruja kerana dapat merasai suasana raya bersama suami, Kapten (B) Norsuhardi Abdul Rahman dan tiga anak mereka.

“Saya sudah membuat persiapan awal terutama untuk anak-anak kerana mereka yang paling teruja apabila beraya. Untuk saya dan suami persediaan ala kadar saja. Apa yang penting kami sekeluarga dapat berkumpul bersama-sama sambil memohon kemaafan antara satu sama lain,” katanya yang akan bercuti sehingga hari raya kelima sebelum menyambung tugasan semula.

Sebagai juruterbang, memang setiap orang berkeinginan beraya bersama keluarga namun demi tugas ada kala perasaan gembira dan teruja ini terpaksa diketepikan. Namun suasana hari raya di pejabat tiada bezanya kerana dikelilingi rakan.

“Biasanya pada pagi raya kami mengagih-agihkan bungkusan untuk setiap kaki tangan yang bertugas pada hari itu sebelum bersalam-salaman antara satu sama lain,” katanya. – Harian Metro

0 comments:

Post a Comment