Bahau – Seramai 11 pelanggan dan tiga penjaga premis ditahan dalam Ops Dadu di sebuah pusat hiburan keluarga disyaki menjalankan kegiatan mesin judi di di Jalan Casuarina 2, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Superintendan Hamzah Alias berkata, bertindak atas maklumat yang diterima, pihaknya membuat serbuan dan pemeriksaan serta mendapati ada beberapa mesin permainan hiburan sedang beroperasi, pada jam 10.05 malam.
Premis hiburan keluarga itu disyaki berselindung di sebalik lesen perniagaan sah dan menjalankan kegiatan mesin judi.
Beliau berkata, dua pegawai dan 10 anggota diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah ( IPD ) Jempol, Asisten Superintendan Mohd Yazed Mohd Serah terbabit dalam operasi itu.
“Kita merampas 11 mesin permainan hiburan, 117 kad baucar mata ganjaran dan tujuh patung beruang pelbagai jenis serta menahan 11 pemain berusia 20 hingga 40 tahun yang leka bermain ketika serbuan dibuat,” katanya.
Hamzah berkata, semua pemain dibebaskan dengan jaminan polis selepas direkodkan keterangan manakala tiga penjaga premis warga Bangladesh direman 14 hari untuk siasatan lanjut.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 51 ( 1 ) Akta Imigresen.
Sumber: myMetro Online

0 comments:
Post a Comment