BAGHDAD – Raad Abdulhussein duduk terpaku di hadapan televisyen di sebuah kafe di Baghdad dengan dua perasaan berlainan – teruja kerana prestasi pasukan kegemarannya dalam perlawanan Piala Dunia, dan cemas kerana bahaya pengebomanyang boleh berlaku pada bila-bila masa.
Laungan dan tepukan yang mengiringi kemaraan pasukan Belanda ke pintu gol Mexico sekali sekala memecahkan kesunyian di kafe ‘Facebook’ itu.
“Bolasepak membawa kita bersama,” kata Raad, pemandu teksi berusia 30 tahun, yang mengunjungi kafe berkenaan setiap hari dengan rakannya untuk menonton perlawanan, yang disiarkan pada waktu malam di Iraq. “Hanya ini cara bagi kami melupakan mengenai ketegangan dan ketakutan yang berlaku di sekeliling,” katanya.
“Sebuah kereta boleh meletup pada bila-bila masa, atau sebutir bom, atau orang tertentu akan masuk ke kafe dan meletupkan dirinya,” kata Raad.
Piala Dunia tahun ini berlangsung ketika Iraq menghadapi masalah keselamatan dengan ancaman daripada militan Sunnah diketuai pergerakan jihad Negara Islam (SI).
Namun ancaman sedemikian bukanlah dialami buat pertama kalinya oleh penduduk di Baghdad ketika menyaksikan perlawanan bolasepak. Ini kerana ibu kota Iraq itu sudah lama diancam dengan keganasan dan pengeboman sejak beberapa tahun lalu lagi.
Kafe adalah tempat merbahaya kerana pihak militan selalunya menjadikannya sasaran, seperti tempat lain di mana terdapat orang ramai termasuk pasar dan masjid.
Tahun lalu, pegawai ksealamtan Baghdad mengadakan seminar untuk pemilik kafe untuk menunjukkan cara bagaimana untuk menghalang dan menghentikan tindakan pengebom bunuh diri, berikutan kejadian di mana hampir 50 kafe dibom di seluruh negara dalam tempoh tidak sampai enam bulan pun.
Dalam masyarakat Iraq yang berbelah bahagi, bolasepak adalah sesuatu yang boleh menyatukan mereka. Ini ternyata benar pada 2007 apabila seluruh negara menyorak ketika pasukan kebangsaan menang Piala Asia, di tengah kemelut peperangan puak sedang memuncak, yang mengakibatkan berpuluh ribu maut.
Piala Dunia “adalah sesuatu yang paling indah. Seluruh dunia menyaksikannya, dan orang ramai di sini begitu teruja dan sering mengunjungi kafe ini untuk menontonnya hingga lewat malam,” kata Ali Hussein, pekerja di Kafe Facebook itu.
“Bolasepak adalah kehidupan untuk rakyat Iraq, dan kami masih ingat pada 2007, ketika orang ramai keluar ke jalan raya, tiada Sunnah dan tiada Syiah dan tiada Kurdis – semuanya berada di belakang pasukan.
“Kalau Iraq layak ke Piala Dunia, mungkin ia akan menyatukan kami semula,” katanya. – AFP
0 comments:
Post a Comment