Siberia – Walaupun cuaca sejuk dengan suhu -25C, namun ia tidak menghalang sekumpulan kanak-kanak di sebuah pusat jagaan kanak-kanak untuk bermain air dan salji, hanya dengan memakai pakaian mandi.
Ia merupakan rejim latihan mereka selama 90 saat dan dijalankan beberapa kali seminggu bertujuan meningkatkan sistem ketahanan badan.
Ada antara kanak-kanak itu berusia semuda dua tahun dan mereka akan dimandikan dengan air sejuk di luar pusat jagaan berkenaan.
Menurut pengarah pusat berkenaan, Olesya Osintseva, kanak-kanak berkenaan ternyata gembira dengan rejim latihan yang dilakukan dan tidak menganggapnya sebagai satu hukuman.
Dia yang mempunyai pengalaman selama 18 tahun dalam penjagaan kanak-kanak ini, turut menggalakkan budak budak tersebut berjalan di atas salji yang membeku dan membasuh badan mereka dengan salji.
Mereka juga akan disiram dengan sebaldi air sejuk.
Jelasnya, kaedah itu dilaksanakan selepas satu perbincangan diadakan dengan guru-guru dan doktor mengenai tahap kesihatan kanak-kanak, kira-kira 18 tahun lalu.
“Perbincangan itu diadakan selepas kebanyakan kanak-kanak mengalami demam dan tidak sihat.
“Berdasarkan keadaan itu, kami mencari jalan bagi mengatasi masalah ini agar kanak-kanak ini akan menjadi lebih sihat serta tahan lasak,’’ katanya.
Justeru, katanya dengan mendedahkan mereka kepada cuaca sejuk, maka ia dapat meningkatkan tahap ketahanan badan.
Selepas enam bulan latihan itu dilakukan, ujar Osintseva, ia menunjukkan kesan yang sangat positif.
“Jika ada seorang kanak-kanak di pusat ini yang menghidap demam, maka kanak-kanak lain tidak akan dijangkiti demam tersebut,’’ katanya.
Bagaimanapun latihan itu bukan satu paksaan malah ibu bapa boleh membuat keputusan sama ada mahu membenarkan anak mereka menjalaninya itu atau pun tidak.
0 comments:
Post a Comment