KUALA LUMPUR – Balik kampung menjelang Aidilfitri adalah suatu kemestian dan menjadi tradisi kepada setiap perantau terutamanya yang berkhidmat serta bermastautin di kota raya seperti Kuala Lumpur.
Berbaki beberapa hari sahaja lagi menjelang ketibaan 1 Syawal, kebanyakan warga kota sibuk membuat persiapan dan antara yang menarik perhatian adalah Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral), lokasi tumpuan warga kota untuk pulang ke desa.
Amirul Mukmin Abas, 23, yang berasal dari Pulau Pinang, berkata suasana kemeriahan Aidilfitri dapat dilihat di KL Sentral sepanjang tempoh musim balik kampung dan pada tahun ini keadaan lebih sesak berbanding tahun sebelumnya.
“Tiket bas dibeli sejak awal Ramadan kerana kebiasaannya, tiket bas bagi perjalanan ke utara tanah air cepat habis dan kebanyakan yang memilih untuk menaiki kenderaan awam adalah atas faktor penjimatan kos,” katanya.
Seorang pekerja swasta, Isma Izzati Ismail, 26, berpendapat pulang berhari raya dengan pengangkutan awam adalah satu cara untuk menikmati kemeriahan lebaran bersama warga kota yang lain.
“Kebanyakan kawan yang berasal dari pantai timur dan merantau ke Kuala Lumpur ini lebih memilih untuk pulang beraya dengan pengangkutan awam. Saya menempah tiket bas sejak minggu pertama berpuasa kerana risau tidak dapat pulang beraya jika saya tidak beli tiket awal-awal,” katanya kepada Bernama.
Bagi Medelina Kong, 21, pulang ke kampung dengan pengangkutan awam dari KL Sentral adalah satu kebiasaan baginya dan kemeriahan di situ memberikan rasa serta suasana hari raya.
“KL Sentral adalah permulaan perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke kampung dengan menaiki KTM Intercity dan setiap kali saya bercuti. Saya memilih untuk memulakan perjalanan dengan pengangkutan awam di sini,” kata Medelina yang berasal dari Taiping, Perak.
Tinjauan Bernama mendapati, rata-rata warga kota yang pulang ke kampung, yang memulakan perjalanan dari KL Sentral terdiri daripada pekerja am dan pelajar. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment