KUALA TERENGGANU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan memantau 10 laluan yang sering berlaku kemalangan maut pada musim perayaan.
Pengarahnya Abdul Rahman Emang Anyie berkata usaha itu dilakukan dalam operasi dua minggu bermula Isnin yang disertai 126 anggota dan pegawai untuk mengingatkan pengguna supaya berhati-hati semasa menggunakan laluan terbabit.
Menurutnya, antara laluan berkenaan adalah beberapa jalan Persekutuan dan negeri di Kemaman, Dungun, Setiu, Marang.
“Antara lokasi terlibat adalah kilometer (KM)87 dan KM70 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu (laluan pantai); KM107 Kampung Labohan, Kemaman; hadapan Stesen Penguatkuasaan Air Sejuk, Setiu; KM68.9 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Tanjung Jara).
“Turut terlibat adalah KM26 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu; KM87 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dan KM30 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Menurut Abdul Rahman, JPJ negeri turut melakukan rondaan di beberapa lokasi mengikut kesesuaian masa serta keadaan selain menumpukan kepada kesalahan lalu lintas.
Beliau berkata, pihaknya akan memberikan fokus kepada kesalahan utama yang dikenal pasti sebagai punca kemalangan iaitu memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, memotong garisan berkembar, memandu dalam keadaan berbahaya, menggunakan laluan kecemasan, memotong barisan ketika memandu dan mengikuti kenderaan dengan terlalu rapat.
Abdul Rahman juga berkata pihaknya akan menempatkan anggota secara statik bagi mengesan pesalah trafik yang melakukan kesalahan di beberapa jalan utama.
“Kita juga turut menempatkan anggota di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai laluan berpotensi kemalangan bagi memastikan orang ramai lebih berhati-hati dan beringat kerana ia memang dikenal sebagai kawasan yang kerap berlaku kemalangan,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment