SAO PAULO – Penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi akur betapa dia gelisah ketika ‘elemen tuah’ memihak kepada pasukannya untuk mengatasi Switzerland 1-0, awal pagi tadi untuk layak ke suku akhir Piala Dunia kali ini.
Ketika permainan seperti mahu diheret ke penentuan sepakan penalti, kapten dan ayam tambatan pasukan itu akhirnya berjaya mengilhamkan laluan menembusi benteng kebal lawan sebelum mengumpan baik kepada Angel Di Maria untuk menyudahkan gol kemenangan dalam perlawanan pusingan kedua kalah mati di Arena Corinthians, awal pagi tadi.
Bintang Barcelona itu beranggapan kemenangan penting itu di hadapan puluhan ribu penyokong Argentina boleh membantu pasukan membuat langkahan baik dalam berdepan ranjau berikut di kejohanan ini.
“Derita…derita…itulah saya rasakan sepanjang perlawanan ini. Tapi kini kami mula sedar kami boleh melepasi halangan seperti ini,” kata Messi yang sudah menjaringkan empat dalam kejohanan setakat ini.
“Kami cukup bernasib baik, ada elemen tuah memihak kami dan kami harus mengaut kelebihan ini untuk terus mara lebih jauh.”
Argentina akan bertemu Belgium pada suku akhir, Sabtu ini.
“Sama seperti orang lain, saya terbayang sesuatu dan ada ketika saya gementar kerana kami tidak dapat menjaringkan gol. Apa saja kesilapan boleh menghukum kami pada saat-saat seperti ini dalam Piala Dunia,” tambah pemain berusia 27 tahun itu.
“Kami tidak mahu penalti dan kami mahu memenanginya pada masa tambahan.
“Saya tidak tahu sama ada saya patut terima ini sebagai satu anugerah atau tidak, tetapi apa yang penting kami sudah berjaya ke peringkat seterusnya, iaitu apa yang kami mahukan.” – Berita Harian
0 comments:
Post a Comment