Perbuatan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (gambar bawah) mempersoalkan peranan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menghapuskan kuasa eksekutif MAIS baru-baru ini, menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tindakan Khalid itu seolah-olah bersikap biadap kerana menentang kuasa baginda sebagai Ketua Agama Islam Negeri apabila wakil rakyat PAS itu mempersoalkan kuasa MAIS.
Baginda turut menyifatkan Khalid jahil mengenai peranan MAIS yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai penasihat dan membantu baginda dalam menjalankan kuasa sebagai Ketua Agama Islam di Negeri Selangor.
Kekesalan dan kecewa terhadap kenyataan Khalid yang tidak bertanggungjawab itu diluahkan baginda secara terbuka menerusi titahnya di majlis perasmian Masjid Pekan Sepang, sebentar tadi.
Khalid seperti dilaporkan media pada 18 Jun lalu mempersoalkan kuasa eksekutif MAIS dan mahu ia dihapuskan ekoran isu rampasan bible dalam bahasa Malaysia milik Persekutuan Bible Malaysia kerana menggunakan kalimah Allah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Walaupun Jabatan Peguam Negara mengarahkan kes itu tutup, MAIS enggan memulangkan semula ke semua bible yang dirampas dan mahu ia dilakukan mengikut proses undang-undang.
Sikap tegas MAIS ini menimbulkan rasa tidak puas hati Khalid lalu mengkritik MAIS dan mencadangkan kuasa eksekutif majlis itu yang dilihat rapat dengan istana dikurangkan.
Titah baginda, Khalid yang bukannya anak jati Selangor namun berpeluang menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil segala langkah untuk melengkapkan diri untuk memahami sejarah Negeri Selangor dan mendalami undang-undang yang terpakai di Negeri Selangor terutama Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri.
Menurut baginda, ini bukan kali pertama Khalid mempersoalkan tentang isu berkaitan kuasa eksekutif MAIS dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.
“Oleh itu Beta menyeru kepada Khalid Samad agar di masa akan datang beliau berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan sikap biadap dan jahil beliau apabila membicarakan isu berkaitan dengan kuasa Beta dan peranan MAIS di dalam menasihati Beta mengenai agama Islam,” titahnya.
Baginda turut menegaskan menegaskan bahawa MAIS sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain di dalam mengamalkan agama mereka.
“MAIS sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,”
“Segala tindakan yang dilakukan oleh MAIS dan JAIS adalah bagi memelihara kesucian agama Islam tanpa menganggu penganut agama lain di dalam menganut agama mereka,” titahnya.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menegaskan kepada semua pihak bahawa jangan jadikan agama Islam sebagai modal politik dan sentiasa menjaga kesucian agama Islam.
“Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan perpaduan umat Islam di negara ini,” titahnya. – bnbbc.my
0 comments:
Post a Comment