KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengarah lelaki, Shamsul Yusof menitiskan air
matanya sewaktu mendendangkan lagu ciptaannya, Ya Rabbi dalam Konsert
Zikir Terapi Diri Hafiz Hamidun yang berlangsung pada malam tahun baru
Hijrah iaitu 14 November lalu di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
Shamsul merupakan pencipta lagu Ya Rabbi yang dimuatkan dalam album solo
penyanyi nasyid, Muhammad Hafiz Hamidun, 28, berjudul Zikir Terapi
Diri.
Sebelum ini, Shamsul hanya mengetahui mengenai konsert Hafiz melalui laman media sahaja.
Namun, apabila hatinya tergerak untuk turut sama menjayakan konsert Hafiz, dia sendiri menghubungi Hafiz atas niat murninya itu.
“Sebenarnya saya peminat setia Hafiz Hamidun dalam diam. Jika
saya boleh berkongsi bab agama tidak kira dari segi lagu atau filem saya
akan dekatkan diri ke arah itu,” kata Shamsul yang dipetik dari laporan
Kosmo Online.
Dalam konsert itu, Shamsul turut bergandingan dengan sepupunya di atas pentas iaitu Dr. Anwar Fazal Abu Bakar (Burn & Soul).
Seramai kira-kira 2,600 orang peminat hadir untuk menyaksikan konsert
zikir memuji kebesaran Allah S.W.T yang dilakukan oleh Hafiz Hamidun
selama 90 minit itu.
Dalam perkembangan lain, Shamsul memberitahu dalam laporan mStar Online
yang dirinya ketika ini mahu mendalami ilmu Islam dalam kehidupannya.
Kata Shamsul, dia merasakan dirinya selama ini terlalu cetek mengenai ilmu agama dan sedang dalam usaha untuk memperbaiki diri.
Sejajar dengan Maal Hijrah baru-baru ini, Shamsul berharap itu merupakan
langkah awal buat dirinya untuk berhijrah menjadi manusia yang lebih
baik.
“Sekarang ini saya mahu mendalami Islam kerana saya merasakan diri ini benar-benar cetek dalam pengetahuan agama.
“Bukan itu sahaja, saya turut berkongsi kepada peminat apa yang telah dipelajari di Facebook dan Twitter.
“Bersempena dengan tahun baru Hijrah ini, tak kiralah daripada segi
peribadi dan kerja, saya ingin menjadi insan yang lebih baik dan berguna
kepada masyarakat, Insya-Allah,” katanya.
0 comments:
Post a Comment