Sebelum ini kami ada postkan tentang Perbezaan Jin dan Syaitan dan juga Jin Dan Perihalnya.
Post kali ini masih berkisar tentang Jin dan alam ghaib iaitu asal
kejadian Jin. Mengikut kajian ulama, syaitan adalah jenis jin yang
jahat perangainya. Syaitan berasal daripada api dan tabiatnya
menyesatkan manusia. Oleh itu ia wujud di mana saja manusia berada. Ia
mempunyai kebolehan menyerupai sesuatu di alam nyata, memperalatkan
tubuh manusia, malah boleh hidup dalam badan orang yang disukainya.
Selain mendatangkan punca penyakit, pengsan dan gila, jin juga kadangkala mencuri atau dipakai untuk mencuri barangan orang.
Dalam ajaran Islam kita dapat mengesan bahawa malaikat, jin dan syaitan
mempunyai jalan untuk mempengaruhi manusia supaya melakukan kebaikan
atau sebaliknya.
Mengikut sebuah hadis Turmizi, “Malaikat menggunakan jalan itu untuk
meniupkan ilham yang baik maka syaitan pula menyampaikan bisikan jahat
dan mendustakan Allah…”
Orang yang bersih jiwanya dapat mendengar suara ilham yang disampaikan
oleh pelawat di hadrat hati. Oleh itu, orang berkenaan berasa lapang
dada dan terdorong untuk beramal. Malah ilham sendiri menjadi faktor
penting jiwanya berasa gembira. Orang yang kotor jiwanya didatangi oleh
jin atau syaitan. Malah mengikut surah al-Zukhruf ayat 36, Allah
menyediakan satu syaitan secara tetap dalam hati yang kosong daripada
zikir.
Syaitan itu menjadi sahabat karibnya. Surah Fussilat ayat 25
menghuraikan kerja syaitan berkenaan iaitu membisikkan kata-kata manis
dan menghayalkan.
Sesungguhnya hasutan syaitan, jin atau roh jahat ke atas fizikal dan
rohaniah manusia jelas sekali. Hasutan itu masuk ke dalam diri mereka
menerusi pelbagai jalan. Antara yang paling dahsyat dan ganas ialah
dengan renungan rohani ketika oarng yang berniat buruk mengamalkan jampi
mentera atau sihir untuk tujuan tertentu terutamanya untuk merosakkan
orang yang dibencinya.
Inilah antara rahsia ( dan Allah Maha Mengetahui ) mengapa syirik
disifatkan sebagai dosa besar oleh Allah. Kerja seperti ini merosakkan
kedua-dua pihak. Pengamal sihir rosak imannya, manakala mangsanya pula
rosak iman, anggota dan mentalnya.
JIN
Makna Jin: Jin adalah satu nama jenis dan dalam bahasa Inggeris di sebut
Ginie - perkataan tunggalnya " Jinny " yang bermaksud yang tersembunyi,
yang tertutup atau yang gelap pekat.
Dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan tentang Jin. Antaranya :-
Surah Al-Hijr ayat 26 - 27 :Yang bermaksud : Dan sesungguhnya Kami telah
menciptakan manusia dari tanah liat yang kering kontang yang berasal
dari lumpur hitam yang di beri bentuk dan Kami telah ciptakan Jin
sebelum di ciptakan manusia daripada api yang sangat panas.
Surah Ar-Rahman ayat 15 :Yang bermaksud : Dia ( Allah ) menciptakan Jann
( Jin ) dari nyalaan api ( Pucuk api yang menyala-nyala atau Maarij )
Surah Al-‘Araf ayat 12 :Yang bermaksud : " Engkau ciptakan aku ( kata
Iblis ) dari api sedangkan ciptakan dia ( Adam ) dari tanah.
Dari Hadis Nabi s.a.w yang telah diriwayatkan oleh Muslim r.a: Maksudnya
: " Malaikat diciptakan dari cahaya, Jaan diciptakan dari lidah api
sedangkan Adam diciptakan dari sesuatu yang telah disebutkan kepada kamu
( tanah).
ASAL KEJADIAN JIN
Keterangan "Al-Maarij "
Maarij bermaksud nyalaan api yang sangat kuat dan sangat panas bahangnya
atau " Al-Lahab " iaitu jilatan api yang sudah bercampur antara satu
sama lain iaitu merah, hitam, kuning dan biru. Sesetengah ulama pula
mengatakan " Al-Maarij " itu ialah api yang sangat terang yang memiliki
suhu yang amat tinggi sehingga bercampur antara merah, hitam, kuning dan
biru.
Sesetengah pendapat pula mengatakan Al-Maarij itu ialah api yang
bercampur warnanya dan sama maknanya dengan " As-Samuun " iaitu api yang
tidak berasap tetapi sangat tinggi suhu panasnya. Angin samuun yang
telah sebati dengan Al-Maarij itulah Allah jadikan Jaan.
Menurut suatu Hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas’ud pula menyatakan
bahawa angin Samuun yang dijadikan Jaan itu hanyalah satu bahagian
daripada tujuh puluh bahagian angin Samuun yang sangat panas itu.
Dari api yang amat panas inilah Allah telah menciptakan Jin, iaitu dari
sel atau atom atau daripada nukleas-nukleas api. Kemudian Allah masukkan
roh atau nyawa padanya, maka jadilah ia hidup seperti yang dikehendaki
oleh Allah. Jin juga di beri izin oleh Allah menzahirkan berbagai-bagai
bentuk dan rupa yang disukai dan dikehendakinya kecuali rupa Rasulullah
s.a.w mengikut tahap dan kemampuan masing-masing.
Jin juga diperintahkan oleh Allah menerima syariat Islam sepertimana
yang diperintahkan oleh Allah kepada manusia. Rupa bentuk Jin yang asal
selepas di cipta dan ditiupkan roh itu, hanya Allah dan Rasulnya sahaja
yang mengetahuinya. Menurut sesetengah ulama rupa, tabiat, kelakuan dan
perangai Jin adalah 90 peratus mirip kepada manusia.
Asal kejadian manusia ialah campuran daripada Jisim Kathif iaitu tanah
dan air, Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani, iaitu
roh, akal, nafsu dan hati yang dinamakan "Latifatur-Rabbaniah " sesuai
dengan manusia sebagai sebaik-baik kejadian yang diciptakan Allah dan
sebagai Khalifah Allah di muka bumi ini. Manakala kejadian Jin pula
ialah campuran Jisim Syafaf iaitu campuran api dan angin dan Nurani
iaitu roh, akal, nafsu dan hati yang sesuai dan sepadan dengan kejadian
Jin.
Manakala mahkluk-makluk lain pula Allah jadikan daripada salah satu
unsur tersebut, contohnya, binatang yang dijadikan daripada campuran
Jisim Ksayif dan Jisim Syafaf sahaja. Batu dan tumbuh-tumbuhan pula
dijadikan daripada Jisim Kasyif semata-mata. Manakala Malaikat pula
dijadikan daripada Nurani semata-mata.
CARA PEMBIAKAN JIN
Manusia memerlukan masa mengandung selama sembilan bulan untuk
melahirkan zuriat dan anak manusia juga memerlukan masa yang lama untuk
matang dan menjadi baligh.
Berbeza dengan Jin di mana, apabila di sentuh alat kelamin lelaki dengan
alat kelamin perempuan, maka Jin perempuan akan terus mengandung dan
beranak dan anak Jin yang baru lahir itu terus mukallaf. Begitulah
keadaanya sehingga ke hari kiamat.
Iblis pula apabila menyentuh paha kanan dengan paha kiri akan
mengeluarkan 33 biji telor. Dalam setiap biji telor itu ada 33 pasang
benihnya. Tiap-tiap pasang benih itu apabila menyentuh paha kanan dengan
paha kiri akan keluar seperti yang terdahulu. Begitulah proses
pembiakan Jin dan Iblis sehinggalah ke hari kiamat.
Bunian atau lebih masyhur di kalangan orang-orang Melayu dengan
panggilan orang Ghaib pula ialah hasil campuran lelaki atau perempuan
Jin dengan lelaki atau perempuan dari kalangan manusia. Anak yang
terhasil daripada percampuran itu dikenali dengan nama Bunian. Perangai
dan tingkah laku serta rupa bentuknya orang Bunian ini dalam beberapa
perkara mengikut manusia dan dalam beberapa perkara pula mengikut Jin.
Jika asal usul datuk manusia ialah Nabi Adam, maka asal usul datuk Jin
pula ialah " Jaan " yang asalnya adalah beriman kepada Allah dan
melahirkan keturunan yang beriman. Selepas itu terdapat pula dari
keturunan Jaan yang kufur dan melahirkan pula keturunan yang kufur. Anak
cucu Jaan yang asal beriman itu ada yang kekal dalam iman dan ada pula
yang kufur dan ada pula yang kembali beriman kepada Allah.
AGAMA PUAK-PUAK JIN
Jin Juga seperti manusia, iaitu ada yang baik, ada yang jahat, ada yang
soleh, ada yang tidak soleh, ada yang alim lagi mukmim, ada ada yang
kufur, ada yang murtad, fasik dan zalim, ada yang masuk syurga dan ada
yang dihumbankan oleh Allah ke dalam neraka di hari akhirat kelak.
Majoriti puak-puak Jin terdiri daripada golongan Jin kafir. Golongan Jin
kafir ini kebanyakanya beragama Yahudi, Kristian, Komunis dan sangat
sedikit daripada mereka yang beragama Buddha dan Majusi. Terdapat juga
golongan Jin yang tidak beragama. Golongan Jin yang memeluk Islam
hanyalah sedikit bilangannya dan terdiri daripada golongan manoriti jika
di bandingkan dengan keseluruhan bilangan Jin.
Seperti juga manusia biasa, Jin juga berada dalam tingkat-tingkat iman,
ilmu dan amalan yang tertentu berdasarkan kepada keimanan dan amalan
mereka kepada Allah. Antaranya ada Jin Islam yang bertaraf awam sahaja ,
Jin Islam yang di tingkat iman Khawas dan Jin Islam yang berada
ditingkat iman yang Khawasil-Khawas.
Walaupun Jin Islam yang paling tinggi imannya dan paling soleh amalannya
serta paling luas serta banyak ilmunya , tetapi masih ada pada diri
mereka sifat-sifat mazmumah seperti takbur, riak, ujub dan sebagainya,
tetapi mereka mudah menerima teguran dan pengajaran.
Mungkin inilah yang sering diperkatakan bahawa " sebaik-baik Jin itu
ialah sejahat-jahat manusia yang fasik. " Tetapi yang berbezanya manusia
yang paling jahat susah menerima pengajaran dan teguran yang baik.
Golongan Jin Islam yang awam dan Jin kafir suka merasuk manusia yang
awam dengan berbagai-bagai cara, kerana pada pandangan mereka
manusia-manusia yang awam itu bukanlah manusia sebenarnya, sebaliknya
adalah rupa seekor binatang. Manusia yang Khawas dan Khawasil-Khawas
tidak dapat di rasuk oleh Jin, bahkan Jin pula akan datang kepada mereka
untuk bersahabat.
RUPA BENTUK JIN
Pada asasnya rupa bentuk Jin tidaklah banyak berbeza daripada rupa
bentuk manusia, iaitu mereka mempunyai jantina, mempunyai hidung mata,
tangan, kaki, telinga dan sebagainya, sepertimana yang di miliki oleh
manusia. Pada dasarnya 80 hingga ke 90 peratus Jin menyerupai manusia.
Cuma yang berbezanya fizikal Jin adalah lebih kecil dan halus daripada
manusia. Bentuk tubuh mereka itu ada yang pendek, ada yang terlalu
tinggi dan ada bermacam-macam warna, iaitu putih, merah biru, hitam dan
sebagainya. Jin yang kekal dalam keadaan kafir dan Jin Islam yang fasik
itu mempunyai rupa yang huduh dan menakutkan. Manakala Jin Islam yang
soleh pula mempunyai rupa paras yang elok.
Menurut sesetengah pendapat tinggi Jin yang sebenarnya adalah kira-kira
tiga hasta sahaja. Pengetahuan mereka lebih luas dan umurnya tersangat
panjang dan ada yang beribu tahun umurnya. Kecepatan Jin bergerak adalah
melebihi gerak cahaya dalam satu saat. Memandangkan Jin adalah terdiri
daripada makluk yang seni dan tersembunyi, tidak zahir seprti manusia
dan tidak sepenuhnya ghaib seperti Malaikat, maka ruang yang kecil pun
boleh di duduki oleh berjuta-juta Jin dan ianya juga boleh memasuki dan
menghuni tubuh badan manusia.
Jumlah Jin terlalu ramai sehingga menurut sesetengah pendapat
bilangannya ialah jumlah semua manusia daripada Nabi Adam hingga ke hari
kiamat di darab dengan haiwan-haiwan, di darab dengan batu-batu, di
darab dengan pasir-pasir dan semua tumbuh-tumbuhan. Itu pun baru satu
persepuluh daripada jumlah keseluruhan Jin.
Manakala jumlah keseluruhan Jin ialah satu persepuluh daripada jumlah
keseluruhan Malaikat. Jumlah keseluruhan Malaikat hanya Allah dan
Rasulnya sahaja yang lebih mengetahuinya.
Alam kediaman Jin ialah di lautan, daratan, di udara dan di Alam Mithal
iaitu suatu alam di antara alam manusia dan alam malaikat. Jika di
berikan oleh Allah kepada kita melihat Jin, sudah tentulah kita akan
melihat jarum yang dijatuhkan dari atas tidak akan jatuh ke bumi ,
tetapi hanya jatuh di atas belakang Jin, disebabkan terlalu banyaknya
jumlah mereka.
Sebab itulah orang-orang tua kita selalu berpesan supaya anak-anak
segera balik ke rumah apabila telah tiba waktu maghrib dan pintu serta
tingkap rumah mesti di tutup, supaya tidak dimasuki oleh Syaitan dan
Iblis.
Sebagaimana sebuah Hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
" Apabila kamu menghadapi malam atau kamu telah berada di sebahagian
malam maka tahanlah anak-anak mu kerana sesungguhnya syaitan berkeliaran
ketika itu dan apabila berlalu sesuatu ketika malam maka tahanlah
mereka dan tutuplah pintu-pintu rumahmu serta sebutlah nama Allah,
padamkan lampu-lampu mu serta sebutlah nama Allah, ikatlah minuman mu
serta sebutlah nama Allah dan tutuplah sisa makanan mu serta sebutlah
nama Allah ( ketika menutupnya ) "
Hadis di atas bermaksud bahawa Jin dan Syaitan akan tidur di waktu siang
dalam cahaya dan sinar sehingga menjelang petang, di mana pada waktu
itu mereka berkeliaran mencari rezeki dan makanan, baik lelaki maupun
perempuan, samada yang dewasa atau kanak-kanak.
MELIHAT JIN
Pada prinsipnya Jin tidak boleh di lihat, di sentuh dan di dengar oleh
manusia dalam bentuk yang asal sebagaimana ianya diciptakan, kecuali
dalam keadaan-keadaan tertentu, Jin boleh di lihat dalam rupa bentuk
yang diingininya.
Jin juga boleh di lihat oleh manusia dalam keadaan sihir atau ketika
meminum air sihir atau melalui kemahuan Jin itu sendiri untuk
memperlihatkan dirinya kepada manusia.
Di dunia semua Jin boleh melihat manusia manakala manusia yang Khawas
dan Khawasil-Khawas sahaja yang boleh melihat Jin selain daripada para
Nabi dan Rasul. Manakala di akhirat pula semua manusia mukmin yang ahli
syurga boleh melihat Jin manakala Jin yang Khawas dan Khawasil-Khawas
sahaja yang boleh melihat manusia.
Antara kelebihan Jin yang telah diberikan oleh Allah ialah kemampuannya
untuk mengubah dirinya dalam berbagai bentuk dan rupa. Contohnya dalam
peperangan Badar, Iblis telah menampakkan dirinya dalam bentuk seorang
lelaki dari Bani Mudlij dan Syaitan pula dalam rupa Suraqah bin Malik
yang datang membantu tentera musrikin memerangi tentera Islam. ( Iblis
dan Syaitan adalah juga merupakan sebahagian daripada golongan Jin ).
Dalam Sahih Bukhari juga ada meriwayatkan bahawa adanya Jin yang
menampakkan dirinya dalam bentuk seekor ular dan membunuh seorang pemuda
yang cuba membunuh ular tersebut. Di samping itu Jin juga boleh
menampakkan dirinya dalam rupa bentuk haiwan yang lain seperti rupa
bentuk kucing, anjing dan sebagainya.
KUMPULAN-KUMPULAN JIN
Jin juga seperti manusia yang inginkan keturunan dan hidup berpuak-puak.
Puak dan kumpulan Jin terlalu banyak dan bercakap dalam berbagai-bagai
loghat dan bahasa. Ada sesetengah ulama membahagikan Jin kepada beberapa
kumpulan, antaranya kumpulan yang menunggu kubur, kumpulan yang
menunggu gua, kumpulan yang menunggu mayat manusia, kumpulan yang
menunggu hutan rimba, kumpulan yang menunggu bukit bukau, kumpulan yang
menunggu air mata air, kumpulan yang menunggu tasik, kolam, teluk,
kuala, pulau dan sebagainya.
JENIS-JENIS JIN
Sama seperti manusia Jin juga terdiri dari pada berbagai jenis atau bangsa, antara yang tersohor ialah :-
1. Iblis Bapa dan pujaan kepada semua jenis Jin, Iblis dan Syaitan..
2. Asy-Syaitan Syaitan-syaitan
3. Al-Maraddah Peragu-peragu ( pewas-was )
4. Al-Afrit Penipu-penipu
5. Al-A’waan Pelayan-pelayan
6. Al-Tayyaaruun Penerbang-penerbang
7. Al-Ghawwaasuun Penyelam-penyelam
8. At-Tawaabi Pengikut-pengikut ( pengekor )
9. Al-Qurana Pengawan-pengawan
10. Al-Ummaar Pemakmur.
GELARAN-GELARAN JIN DALAM ISTILAH ORANG-ORANG MELAYU
Jin menurut orang-orang Melayu mempunyai beberapa nama dan gelaran
menurut perwatakkan dan rupa bentuk penjelmaan mereka. Kebanyakan nama
Jin-Jin itu dimulai dengan hantu. Hantu-hantu tersebut sebenarnya adalah
terdiri daripada golongan Jin, cuma di kalangan orang Melayu,
menganggap hantu itu adalah makhluk yang berbeza daripada Jin.
ANTARA JIN-JIN YANG POPULAR DI KALANGAN ORANG-ORANG MELAYU IALAH:
Hantu Raya, Hantu Pontianak, Hantu Polong, Hantu Toyol, Hantu Langsuir,
Hantu Penanggal, Hantu Pelesit, Hantu Air, Hantu Bukit, Hantu Kubur,
Hantu Pari, Hantu Punjut, Hantu Jerangkung, Hantu Laut, Hantu Bawah
Tangga, Hantu Galah, Jin Tanah, Hantu Kum-Kum, Hantu Bungkus, Hantu
Pocong, Hantu mati di bunuh, Hantu Bidai, Hantu pari-pari, Hantu Kopek (
Tetek ), Harimau Jadian, Jembalang Tanah, Hantu Tengelong.
KERAJAAN-KERAJAAN JIN
Jin juga mempunyai pemimpin dan kerajaannya yang tersendiri. Antara Raja
Jin alam bawah yang kafir ialah seperti Mazhab, Marrah, Ahmar, Burkhan,
Syamhurash, Zubai’ah dan Maimon. Empat raja Jin Ifrit ( Jin yang paling
jahat ) yang mempunyai kerajaan yang besar yang menjadi menteri kepada
Nabi Allah Sulaiman a.s ialah Thamrith, Munaliq, Hadlabaajin dan
Shughal.
Manakala Raja Jin Alam atas yang Islam pula ialah Rukiyaail, Jibriyaail,
Samsamaail, Mikiyaail, Sarifiyaail, ‘Ainyaail dan Kasfiyaail. Raja Jin
yang mengusai kesemua Jin tersebut bernama THOTHAMGHI YAM YA LI..
Manakala Malaikat yang mengawal kesemua Jin-Jin di atas bernama
Maithotorun yang bergelar QUTBUL JALALAH.
ANAK-ANAK IBLIS JUGA MEMPUNYAI KERAJAAN YANG BESAR ANTARANYA :
1. Thubar Merasuk manusia yang di timpa musibah dan bala.
2. Daasim Merasuk manusia untuk menceraikan ikatan silatulrahim, rumah tangga, keluarga, sahabat handai, jemaah dan sebagainya.
3. Al-‘Awar Merasuk manusia supaya meruntuhkan akhlak, berzina, minum arak, liwat, berjudi dan sebagainya
4. Zalanbuur Merasuk manusia dengan api permusuhan dan pembunuhan.
ANTARA JIN, IFRIT, SYAITAN DAN IBLIS
Jin, Ifrit, Syaitan dan Iblis adalah merupakan sebahagian daripada
golongan Jin, cuma tugas dan fungsi mereka sahaja yang berbeza. Jin
sebagaimana yang telah diterangkan di atas ialah sejenis mahkluk Allah
yang tersembunyi dan tidak kelihatan oleh manusia. Pengetahuan mereka
lebih luas dan sangat panjang usianya.
Manakala Ifrit pula adalah daripada golongan Jin yang sangat kuat dan
bijak menipu serta sangat busuk hati terhadap manusia. Golongan ini
tersangat sombong lagi amat durhaka kepada Allah.
Iblis dan Syaitan juga terdiri daripada golongan Jin dan mereka
merupakan golongan Jin yang sangat sombong lagi durhaka, pengacau dan
menjadi musuh utama manusia dan mendapat kutukan Allah sehingga ke hari
kiamat.
Sebagaimana Firman Allah yang bermaksud :
" Iblis menjawab : Sebab engkau telah menghukum saya dengan tersesat,
saya akan menghalang halangi mereka dari jalan Mu yang lurus. Kemudian
saya akan mendatangani mereka dari depan dan dari belakang mereka, dari
kanan dan kiri mereka. Engkau tak akan mendapati kebanyakan dari mereka
bersyukur ( taat )."
Sesetengah ulama berpendapat bahawa Azazil itu bukanlah moyang Jin,
sebenarnya beliau merupakan satu Jin yang paling abid dan alim di
kalangan Jin yang di angkat menjadi ketua ahli-ahli ibadat kepada Jin
dan Malaikat. Dia menjadi angkuh dan takbur di atas keilmuan, ketakwaan
dan banyak beribadat serta asal usul kejadiannya berbanding dengan
manusia ( Adam ). Maka dengan sifat beliau yang sombong itu Allah telah
melaknatnya menjadi kafir dengan nama Iblis.
Bermula dari saat itulah Iblis melancarkan gerakan permusuhan dengan manusia sehingga ke hari kiamat.
Allah telah menjelaskan bahawa terdapat tiga jenis permusuhan dilakukan oleh Jin ke atas manusia iaitu :-
Melalui Kejahatan ( As-Suu’ ) : iaitu berkenan dan gemar kepada dosa-dosa dan maksiat hati dan segala anggota tubuh badan.
Kekejian ( Al-Fahsyaa’ ) : iaitu kejahatan yang lebih buruk dan jahat
lagi. Kekejian ini adalah sebahagian daripada perkara yang membawa
kepada kedurhakaan dan maksiat kepada Allah.
Melalui pembohongan dan menipu Allah melalui perbuatan, perkataan dan nawaitu.
0 comments:
Post a Comment