Pelakon jelita Anzalna Nasir berkata dia tidak peduli dengan
tanggapan segelintir pihak yang mendakwa dirinya sebagai selebriti yang
berfikiran cetek atau ‘dumb blonde.’
“Terus-terang, saya tidak kisah dengan persepsi orang. Saya tidak akan boleh buat semua orang menyukai saya.
“Biarlah apa orang nak anggap kerana mereka hanya menilai pada luaran. Saya tetap dengan diri dan karakter ceria yang tidak menyusahkan sesiapa pun.
“Pada saya, jika teguran atau tanggapan itu berasas, saya akan terima dan berubah dengan hati terbuka tetapi kalau persepsi kononnya saya ‘dumb blonde’, ia tidak akan menyakitkan saya,” katanya ketika ditemui mStar Online di sini, baru-baru ini.
Pelakon filem Sepah The Movie ini berkata, tuduhan yang tidak berasas itu dilemparkan oleh sikap segelintir pihak tanpa mengenali dirinya dengan lebih dekat.
“Saya sedar sikap periang dan gemar ketawa dengan kuat ini membuatkan orang menuduh saya berfikiran singkat dan nampak bodoh.
“Walaupun saya kelihatan seperti suka mengambil mudah dalam urusan yang dilakukan, ia tidak bermakna saya tidak boleh berfikir dan menilai baik dan buruk sesuatu perkara.
“Saya belajar sehingga ke peringkat universiti dan ada ilmu. Otak saya bukan kosong cuma saya tidak mahu bersikap serius dalam kehidupan seharian,” jelasnya.
Beralih pada perkembangan kerjaya, Anzalna berkata, dia kini mengimpikan untuk menggalas karakter yang berbeza kerana sudah bosan dengan watak antagonis.
“Saya bermula dalam industri menerusi watak-watak jahat, penggoda dan wanita gedik. Apabila khalayak membenci dan merungut dengan watak itu, ia menunjukkan lakonan saya diterima.
“Kini saya sudah muak dengan watak begitu dan mahu mencari peluang watak-watak lain pula,” kongsinya yang juga akan muncul dengan filem Kahwin 5 pada Disember depan.
Filem Sepah The Movie yang turut dibintangi antaranya kumpulan Sepah dan Jehan Miskin akan ditayangkan bermula 29 November ini.
0 comments:
Post a Comment