SEIRING...bakat dan kecantikannya menjadi kekuatan.- Norsyazwana Mohd Ali
SELAMA ini ramai tercari-cari siapakah pemilik vokal di sebalik lagu yang semakin hit di corong radio ketika ini, Lepaskan.
Norsyazwana Mohd Ali
Norsyazwana Mohd Ali
Norsyazwana Mohd Ali
Ramai menyangka lagu itu dendangan bekas pemenang program realiti
MyStarz LG, Wana padahal sangkaan itu jauh tersasar apabila
kebenarannya, ia nyanyian pendatang baru yang namanya kebetulan
seakan-akan sama, Wanna Ali.
Pasti ramai yang belum kenal dengan pemilik nama penuh Norsyazwana Mohd
Ali ini, namun sukar untuk menyangkal, remaja comel ini punya masa depan
cerah jika digilap dengan betul dan diberikan pendedahan.
Bukan saja memiliki nada vokal yang sedap, malah dia juga dikurniakan
pakej yang baik dari segi imej. Jadi tidak mustahil laluan untuknya
mungkin lebih mudah dalam menembusi industri hiburan di Malaysia.
Bertemunya pada satu sesi fotografi di Balai Berita NSTP, Bangsar,
baru-baru ini, siapa sangka melihat caranya yang selesa beraksi di depan
lensa kamera, Wanna sebenarnya baru mencecah usia 15 tahun!
Sewaktu ditemu bual, jelas terpancar elemen profesional kerana gadis yang memakai pendakap gigi ini bijak mengatur jawapan.
Berbalik kepada isu salah faham mengenai lagu Lepaskan tadi, ternyata
penangan lagu itu benar-benar membuatkan ramai tertanya-tanya siapakah
dia Wanna Ali?
Mengakui mendapat banyak maklum balas mengenai salah faham itu, Wanna bagaimanapun tidak mengambil hati kerana sedar namanya belum lagi gah.
“Ramai yang keliru dan ingatkan lagu itu nyanyian Wana MyStarz LG. Namun
bagi kawan-kawan serta orang yang sudah kenal dengan saya, mereka tahu,
itu lagu saya.
“Apabila mendapat tahu orang keliru antara saya dan Wana, tidak terdetik
pun rasa terkilan kerana nama kami pun hampir sama bunyinya cuma ejaan
saja yang lain,” kata pelajar Sri KDU, Kota Damansara ini.
Baru tamat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), menurut Wanna,
dia tidak pernah terfikir akan bergelar penyanyi sepenuh masa kerana
baginya minat menyanyi itu adalah sekadar untuk suka-suka saja iaitu
sebagai hobi masa lapang.
Mula menunjukkan minat menyanyi sejak kecil lagi, Wanna juga tidak
sangka mendapat perhatian daripada komposer Ajai pada tahun lalu
sehingga terus ditawarkan merakamkan lagu di studio.
“Sebelum ini saya lebih kepada berlakon dan nyanyian saya sekadar untuk
diri sendiri saja di rumah tapi apabila mendapat tawaran menyanyi
daripada Abang Ajai, terdetik dalam hati saya, kenapa tidak mencuba?
Jadi akhirnya muncullah lagu Lepaskan.
“Sekarang ini pun, saya dalam proses untuk menyiapkan album di mana
kebanyakan lagu yang dimuatkan adalah hasil ciptaan Abang Ajai. Memang
rasa bertuah sangat kerana dapat bekerjasama dengan Abang Ajai, apatah
lagi dia seorang komposer berpengalaman.
“Sebanyak lima lagu akan dimuatkan dalam album saya kelak dan ia akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.
Lebih dulu terbabit dalam bidang lakonan, Wanna pernah muncul menerusi
filem Aku Ada, Kau Ada dan akan tampil pula dalam filem Tokan.
Bagaimanapun, dia akan tetap mengutamakan bidang nyanyian buat masa ini.
“Saya meminati bidang muzik sejak kecil lagi dan suka menyanyi sampailah
sekarang. Sebenarnya, saya pun tidaklah menyimpan cita-cita untuk
menjadikan seni sebagai karier tapi apabila peluang sudah terbuka, saya
pun terima.
“Namun kalau diberi pilihan sama ada nyanyian ataupun lakonan,
semestinya saya akan memilih nyanyian. Nyanyian itu umpama sudah menjadi
sebahagian daripada diri kerana setiap masa pun saya akan habiskan
dengan mendengar lagu dan menyanyi di rumah.
“Untuk lakonan pula, saya jadikan ia sebagai batu loncatan untuk menimba
pengalaman dan mencuba sesuatu yang baru,” jelasnya yang datang ke
studio ditemani ibu.
Meminati penyanyi Barat terutamanya Lenka selain turut meminati Adele dan Amy Winehouse, Wanna teringin belajar bermain muzik.
“Saya tahu ramai penyanyi berjaya pada masa ini terdiri daripada
penyanyi yang pada masa sama mencipta lagu sendiri, namun buat masa ini
biarlah saya serahkan dulu tugas itu kepada komposer handalan untuk
membantu saya,” katanya.
Pada masa sama, artis remaja ini yang turut tersenarai sebagai calon
awal kategori Penyanyi Wanita Paling Popular dalam Anugerah Bintang
Popular Berita Harian 2012 (ABPBH2012), tidak sesekali terlintas
mengabaikan pelajarannya.
“Walaupun sudah mula berkecimpung dalam bidang ini, saya masih letakkan
pendidikan sebagai fokus nombor satu. Seperti yang saya katakan,
nyanyian ini hanyalah suka-suka dan paling penting saya mahu berjaya
dalam bidang pelajaran terlebih dulu.
“Saya tidak mahu tergesa-gesa untuk memutuskan sama ada saya akan
teruskan karier dalam nyanyian kerana masa depan kerjaya ini pun masih
lagi samar-samar,” kata anak kedua daripada empat beradik ini yang
menyimpan cita-cita untuk menjadi pakar sakit puan suatu hari nanti.
0 comments:
Post a Comment