Timbalan Ketua Menteri II P. Ramasamy diminta memberi penjelasan sama ada amalan berdoa mengikut kepercayaan pelbagai agama menjadi kebiasaan dalam program yang dihadiri pemimpin kerajaan Pulau Pinang.
Anggota Parlimen Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perkara itu didedahkan bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad baru-baru ini berhubung isu doa yang dipimpin paderi Kristian, sami Hindu dan Imam Masjid Negeri dalam satu acara pecah tanah anjuran Persatuan India Pulau Pinang oleh Ramasamy pada Februari lepas.
Reezal Merican menyifatkan pendedahan itu sebagai mengejutkan dan menyalahi perlembagaan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Kebimbangan Tun (Abdul) Hamid berasas dari aspek kerangka undang-undang. Saya ingin tanya adakah perkara ini praktis biasa di Pulau Pinang dan adakah perkara ini akan berulang lagi dalam program lain yang dianjurkan di negeri ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rabu lepas Ramasamy dilapor Malaysiakini sebagai berkata majlis seperti itu seharusnya dipuji kerana mencerminkan semangat Malaysia yang sebenar.
Beliau juga menyifatkan ia adalah perkara yang terbaik dan tiada apa yang salah mengenainya.
Reezal Merican berkata perbuatan itu boleh mendorong kepada amalan pluralisme dalam agama dan ia tidak sepatutnya berlaku kerana Islam mempunyai kedudukan tersendiri dalam perlembagaan negara. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment