Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Thursday, July 24, 2014

No Comment

Kuala Lumpur: Pembangkang memuji kebijaksanaan dan keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengendalikan tragedi MH17.

Malah, rundingan secara senyap dengan ketua kumpulan pemisah, Alexander Borodai, yang mungkin mencetuskan kontroversi disifatkan sebagai tepat dan wajar.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh), berkata Malaysia menunjukkan sikap tegas dan tidak bimbang untuk menggesa pihak yang bertanggungjawab.

“Tindakan Perdana Menteri berunding dengan puak pemisah mungkin mengundang kontroversi. Namun, kita memahami dan menyokong tindakan berunding itu.Pemimpin yang bertanggungjawab memilih menjaga kepentingan rakyat yang terkorban,” katanya ketika membahaskan usul Tragedi Malang Pesawat MH17 dalam Persidangan Khas Parlimen, semalam.

Beliau juga bersama-sama Najib mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak berperikemanusiaan oleh pihak yang menembak jatuh pesawat MH17 di Ukraine, pada Khamis lalu itu.

Bawa ke mahkamah antarabangsa
“Saya menggesa kerajaan membawa perkara ini ke mahkamah antarabangsa supaya siasatan menyeluruh dapat dijalankan segera dan pihak terbabit dapat dibawa ke muka pengadilan,” katanya.

Lim Guan Eng (DAP-Bagan) pula berkata, parti itu akan bersama kerajaan dalam usaha membawa pulang jenazah dan memberi sokongan penuh usaha mencari kebenaran bagi pihak mangsa MH17.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, parti juga akan terus memberi sokongan terhadap MAS dan yakin untuk terus menggunakan perkhidmatan syarikat penerbangan itu.

“Sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada MAS dan warga kerja, bukanlah sekadar ucapan sahaja, maka kami ingin menunjukkan keyakinan dengan terus menggunakan MAS, kalau masa penerbangan mengizinkan,” katanya.

Beliau turut bersetuju dengan Najib yang menggunakan saluran diplomatik secara senyap di kawasan konflik kerana ia adalah cara terbaik demi mencapai keputusan dikehendaki.


Usah berasa takut

“Malaysia tidak boleh berasa takut untuk menggunakan apa sahaja pengaruh yang ada untuk meletakkan tekanan demi mendapatkan kebenaran,” katanya.

Beliau berkata, ketika kuasa ekonomi Malaysia tidak begitu signifikan berbanding Amerika Syarikat atau negara Kesatuan Eropah, negara masih mempunyai hubungan ekonomi dengan Russia di mana Malaysia membeli 18 pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM bernilai AS$900 juta pada Ogos 2003.

“Jika Malaysia belum lagi menyelesaikan pembayaran untuk pesawat ini, kita harus bersedia untuk menangguhkan bayaran selain membatalkan projek angkasawan kedua, jika perlu dan jika berasakan pihak berkuasa Russia tidak memberikan kerjasama penuh kepada komuniti antarabangsa dan kepada Malaysia.

“Kita mungkin boleh mempertimbangkan untuk menyertai sekatan yang dicadangkan komuniti antarabangsa terhadap Russia,” katanya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), mencadangkan supaya kerajaan mengambil pengajaran tragedi MH17 agar kejadian sama tidak berulang.

“Penilaian risiko perlu dilakukan oleh MAS, Air Asia, Wisma Putra atau pihak kerajaan yang beri laporan lengkap laluan selamat atau tidak terutama laluan di negara konflik kerana tidak boleh bergantung selamanya kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya. - Berita Harian

0 comments:

Post a Comment