Seremban: “Selepas isteri dihentak dengan kayu di kepala, saya merayu kepada perompak terbabit supaya tidak mengapa-apakan lagi isteri kerana saya mahu menghantarnya ke hospital.
“Saya bersyukur kerana rayuan itu didengari sebelum mereka memecah masuk rumah jiran,” kata warga emas, Tan Chee Boon, 76, menceritakan detik cemas dialaminya apabila kediamannya di Taman Rasah Jaya, Fasa 1, di sini, dipecah masuk perompak, semalam.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, Tan berkata, dia dan isterinya, Choi Ah Kiau, 75, tidur di bilik utama sebelum terjaga sebaik terdengar bunyi di bumbung rumah.
Katanya, dia dan isteri ke dapur untuk membuat pemeriksaan sebelum terkejut melihat kehadiran seorang lelaki bertopeng yang memecah masuk kediaman mereka melalui bumbung.
“Melihatkan lelaki itu memegang besi, saya menyambar sebatang kayu di dapur dan ingin melawannya.
Namun, cubaan itu gagal apabila saya dipukul di lengan kiri manakala isteri dihentak di kepala,” katanya.
Menurutnya, selepas dihentak, isterinya pengsan dan dia merayu supaya perompak itu tidak mengapa-apakannya lagi sebelum suspek mengambil telefon bimbit serta RM300 dan melarikan diri.
Menurutnya, dia meninjau menerusi tingkap dan mendapati dua lelaki bermotosikal turut menunggu di luar rumahnya.
“Ketika itu, saya ternampak tiga lelaki terbabit menuju rumah jiran bertentangan rumah saya,” katanya.
Tan berkata, dia membawa isterinya ke Hospital Tuanku Ja’afar dan mangsa menerima sembilan jahitan di kepala akibat kecederaan dialaminya. ─ myMetro online
0 comments:
Post a Comment