Kuala Lumpur – Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah sedia mempertimbangkan untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) seandainya mendapat pencalonan serta sokongan daripada ahli gabungan badan induk itu.
Namun beliau menegaskan lebih selesa untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan pucuk pimpinan FAM, 25 Mei depan.
“Kalau ada (ahli gabungan) yang menyatakan saya layak untuk bertanding jawatan presiden, saya akan pertimbangkan.
“Ketika ini saya mahu mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dulu,” katanya selepas menyempurnakan majlis pelancaran buku bertajuk ‘Beyond Dreams’ hasil tulisan bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Datuk Peter Velappan.
Desas desus mengenai perebutan jawatan presiden itu mula timbul selepas bekas Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa meminta ahli gabungan supaya melakukan perubahan pada pemilihan pucuk pimpinan kali ini dengan mencadangkan beberapa nama antaranya Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim. – myMetro Online
0 comments:
Post a Comment