“Jika kita bekerja seperti biasa, janganlah kita mengharapkan hasil yang luar biasa”.
Demikian kata cerdik pandai untuk menggambarkan betapa perlunya manusia berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat.
Sebagai seorang pendidik yang hampir 30 tahun mengajar di salah sebuah sekolah di pantai timur, saya berasa kata-kata cerdik pandai yang dinyatakan tadi, cukup sesuai menggambarkan senario pendidikan negara mutakhir ini.
Saya beranggapan bahawa kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) cukup sedar bahawa sudah tiba masanya sistem pendidikan negara ini beralih kepada satu era yang mampu meletakkan standard pendidikan negara mencapai kelas dunia.
Usaha ini sejajar dengan sejarah perkembangan sistem pendidikan itu sendiri.
Jika pada era awal kemerdekaan melalui Laporan Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib (1960), sistem pendidikan menggalas misi menyatupadukan rakyat, maka dalam konteks langit terbuka sekarang, negara ini perlu memiliki suatu sistem pendidikan yang mampu melahirkan pelajar bertaraf antarabangsa dan boleh bersaing dengan rakan-rakan mereka di belahan benua sebelah sana.
Oleh sebab itu saya secara peribadi amat berbesar hati apabila KPM pada tahun lalu melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015 dengan tiga objektif khusus iaitu memahami prestasi dan cabaran semasa; mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas; menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam pendidikan.
Bagi mencapai objektif PPPM, maka KPM menjalankan suatu sistem penilaian yang begitu hangat diperkatakan sekarang iaitu Pentafsiran Berasaskan Sekolah (PBS). Perlu diingatkan bahawa sejak awal kemerdekaan sehinggalah era milenium, sistem penilaian pelajar dalam sistem pendidikan negara teruk dihentam oleh pelbagai pihak yang mendakwa sistem penilaian ini terlalu berorientasikan peperiksaan.
Kesannya kebanyakan pelajar, waima ibu bapa sekalipun “gila” menyusun deretan pangkat “A” dalam buku rekod pencapaian pelajar setiap tahun.
Maka PPPM yang digubal melalui penyertaan 55 000 orang cerdik pandai dari dalam dan luar negara mendukung pelaksanaan PBS sebagai pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pentaksiran melalui PBS meliputi bidang akademik dan bukan akademik.
Sebagai seorang pendidik, saya sangat berlapang dada ditiup “roh” PBS yang saya anggap memahami prestasi dan cabaran semasa.
Negara maju seperti Amerika Syarikat dan Korea Selatan dalam persekitaran pendidikan mereka cukup berjaya melaksanakan sistem ini.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan sistem ini nampaknya dikenal pasti mempunyai beberapa kelemahan dan perlu diteliti semula untuk memastikan sistem ini berjalan lancar pada masa depan.
Saya sendiri secara peribadi mengalami kesukaran untuk mengisi rekod prestasi pelajar ke dalam sistem, di samping terbeban dengan banyak evident bagi setiap band untuk setiap mata pelajaran yang diajar.
Jadi, saya menyambut baik pengumuman Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof, baru-baru ini yang menangguhkan secara rasmi pelaksanaan PBS sehingga kenyataan mengenainya dibuat KPM dalam masa terdekat.
Saya melihat penangguhan PBS dalam konteks yang lebih besar.
Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa.
Seperti yang terkandung dalam gelombang pelaksanaan PPPM, sistem pendidikan negara sekarang berada pada Gelombang 1 (2013-2015) PPPM yang menumpukan kepada pengubahan sistem dengan menyokong guru dan memberikan keutamaan kepada kemahiran utama.
Dalam Gelombang 1 ini dinyatakan bahawa penambahbaikan PPPM akan dijalankan dari semasa ke semasa. Jadi, tindakan menangguhkan PBS dan mengkajinya semula untuk proses penambahbaikan selari dengan tuntutan Gelombang 1 pelaksanaan PPPM.
Keterbukaan KPM untuk mendengar keluhan guru berkenaan PBS ini sehingga bersedia menangguhkannya menunjukkan bahawa pelaksanaan PBS ini tidak mempunyai agenda peribadi mahupun politik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.
Tidak ada sesiapa yang menang dalam hal ini. Untuk menjadikan sistem pendidikan kita bertaraf dunia, kita harus bersedia menyahut cabaran dan halangan. Bagi menjadi negara yang dihormati, kita harus berjiwa besar.
Saya cukup kecewa apabila ada kumpulan pendidik di bawah nama badan pertubuhan bukan kerajaan belum berdaftar yang mengelar diri mereka sebagai Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) dengan penuh angkuh mendakwa mereka mewakili suara guru-guru mengecam KPM untuk memansuhkan PBS.
Bahkan mereka sampai ke tahap mengadakan perhimpunan di Bangi baru-baru ini bagi menunjukkan kehebatan mereka mendesak KPM memansuhkan PBS.
Lebih memalukan mereka menyerahkan memorandum bantahan pelaksanaan PBS kepada Perdana Menteri Malaysia.
Apa masalah mereka ini? Adakah mereka tidak memahami betapa getirnya cabaran pendidikan negara ini jika masih berada pada takuk lama ketika negara lain berlumba-lumba melonjakkan sistem pendidikan negara masing-masing ke peringkat dunia?
Saya bukan menghina, tetapi pada pandangan saya, Presiden pertubuhan tidak berdaftar tersebut yang khabarnya baru dua tahun menjadi guru pendidikan seni, bermuhasabah dahulu sebelum beria-ria menyalak di tengah-tengah gelanggang.
Bukan budaya guru di Malaysia ini bertindak berhimpun dan menyalak membantah KPM sedemikian rupa.
Lebih mengaibkan perhimpunan yang mereka anjurkan baru-baru ini turut disertai oleh beberapa buah NGO lain yang berkaitan dengan politik.
Agak melucukan apabila Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang tumpang sekaki menyertai perhimpunan tersebut, tiba-tiba mengeluarkan usul supaya kuasa Menteri Pendidikan dihadkan supaya tidak sewenang-sewenangnya mengubah sistem pendidikan negara dan sebarang perubahan harus diberikan kepada pakar.
Pastinya kenyataan ini merujuk PPPM yang dilancarkan pada tahun lalu yang mendukung PBS.
Adakah ABIM tahu berapa ramai yang pakar yang sudah terlibat menggubal PPPM dan merencanakan PBS? Saya tidak mahu menjawab soalan ini. Biarlah ABIM dan Presiden SGMM membuat “kerja sekolah” untuk mencari jawapan persoalan ini.
Cukup-cukuplah SGMM diangkat menjadi “hero” songsang dalam polemik PBS ini.
Fahamilah roh pelaksanaan PPPM dan PBS terlebih dahulu sebelum bersilat di gelanggang.
Jika tidak, maka silat akan nampak canggung, setiap gerak langkah akan nampak tempang. Bak kata pepatah, “jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar”.
Saya cukup setuju dengan pandangan Dato’ Seri Idris Jusoh pada 24 Februari lalu bahawa PBS tidak akan dimansuhkan kerana rakyat mahukannya.
Dahulu kita sibuk marahkan sistem penilaian pelajar yang berorientasikan peperiksaan, sekarang tidak semena-mena sekumpulan guru yang baru setahun jagung mengajar, terhegeh-hegeh pula mahu sistem penilaian yang tidak berorientasikan peperiksaan, sebaliknya bersifat holistik yang baru diperkenalkan segera dimansuhkan.
Jadi sebenarnya, apa yang mereka mahukan?
KPM melalui banyak kenyataan media sudah menyatakan bahawa mereka sedang bersungguh-sungguh menambaik sistem kemasukan rekod pelajar dan pada masa yang sama sedang berusaha mengurangkan beban guru dalam pelaksanaan PBS.
Berilah peluang kepada KPM menambah baik PBS. Jika usaha ini pun tidak dihargai oleh SGMM, saya syorlah berhenti sahaja menjadi guru.
Banyak lagi, cabaran yang jauh lebih hebat daripada PBS jika kita bergelar pendidik. Janganlah, baru dicuit dengan cabaran PBS, kita sudah melompat.
Agaknya, bagaimana pula reaksi “hulubalang” SGMM jika dihantar ke pedalaman Sarawak yang perlu 2 hari menaiki perahu jalur untuk sampai ke sekolah?
Bagaimana pula reaksi Presiden SGMM jika ditugaskan mengajar anak-anak peribumi di Ulu Baram yang baru sekali seumur hidup mereka melihat berus lukisan?
Apa pula reaksi Setiausaha SGMM jika disaman oleh ibu bapa hanya kerana mencubit anak mereka yang tidak menyiapkan kerja sekolah?
Cukup-cukuplah melatah. Malu dilihat oleh anak-anak murid.
Perjalanan kita masih jauh. Adakah dengan cara kerja dan pemikiran yang lama, kita mampu bersaing dalam persekitaran dunia pendidikan sekarang yang cukup kompetitif?
Benarlah kata cerdik pandai, “jika kita bekerja cara biasa, jangan harapkan hasil yang luar biasa”.
Cikgu Marhaen,
Jelebu, Negeri Sembilan.
0 comments:
Post a Comment