SIMFEROPOL – Berpuluh-puluh lelaki bersenjata pro-Rusia menawan ibu pejabat dan Parlimen wilayah Semenanjung Crimea di Ukraine semalam dan mengibarkan bendera Rusia.
Seorang koresponden agensi berita Reuters di ibu negeri Crimea, di sini memberitahu, pintu masuk bangunan Parlimen itu dihalang dari dalam menggunakan beberapa buah meja dan kerusi.
Bangunan berkenaan kini dikepung oleh lebih 100 anggota polis.
Kumpulan bersenjata itu belum membuat sebarang tuntutan setakat ini manakala pihak berkuasa juga tidak pasti sama ada terdapat tebusan dalam kejadian itu.
Tiada sesiapa yang dapat masuk ke dalam bangunan tersebut.
Agensi berita Interfax memetik seorang saksi melaporkan terdapat kira-kira 60 orang di dalam bangunan berkenaan dengan mereka memiliki banyak senjata api.
“Tiada sesiapa cedera apabila bangunan itu dirampas pada awal pagi semalam,” kata sumber.
Crimea merupakan satu-satunya wilayah di Ukraine yang dihuni oleh majoriti etnik Rusia sekali gus kubu kuat terakhir penyokong Presiden Viktor Yanukovich yang ditumbangkan pada Sabtu lalu.
Sehingga kini, barisan kepimpinan baharu Ukraine bimbang berhubung tanda-tanda pemisahan di Crimea.
Stesen televisyen tempatan melaporkan rampasan bangunan itu disahkan oleh pemangku menteri dalam negeri Ukraine.
Yanukovich ditumbangkan selepas tunjuk perasaan selama tiga bulan di ibu negara berkenaan, Kiev.
Beliau kini diburu oleh pemerintah baharu berhubung kematian kira-kira 100 orang dalam protes tersebut.
Ukraine memperoleh kemerdekaan selepas kejatuhan negara Kesatuan Soviet pada tahun 1991.
Sementara itu seorang pegawai Rusia dipetik sebagai berkata, Moscow telah meluluskan permohonan Yanukovych untuk mencari suaka di Rusia. Yanukovych yang melarikan diri dari ibu kota Ukraine, Kiev pada minggu lalu memberitahu media Rusia bahawa beliau masih menganggap dirinya sebagai Presiden Ukraine yang sah. – Agensi
0 comments:
Post a Comment