PETALING JAYA – Pelakon Zara Zya menganggap bisnes tudung yang diusahakannya iaitu Zyabyzarazya bukanlah sesuatu yang pelik dan ia tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Zara berkata, tidak ada sebarang masalah untuk dia menjual produk tersebut biarpun dia belum lagi berhijab.
“Saya rasa tidak ada masalah untuk saya jual tudung walaupun saya belum bertudung. Peminat-peminat saya ramai yang bertudung, manakala saya sendiri banyak membawa watak sebagai perempuan bertudung.
“Saya malas ambil peduli mereka yang beri komen negatif kerana kita buat baik ke tidak ke… ada sahaja komen-komen negatif ini,” ujarnya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Zara berkata demikian sebagai mengulas tentang komen segelintir pihak terhadap bisnes tersebut yang dikatakan tidak sesuai diusahakannya kerana dia tidak bertudung.
Tambah Zara, dia mula berkecimpung dalam bisnes tudung sejak dua bulan lalu dan mendapat sambutan yang mengalakkan daripada peminatnya.
Katanya, buat masa ini dia menjalankan operasi secara dalam talian dan di sebuah butik milik rakannya di Sri Hartamas dekat sini.
“Alhamdulillah, sambutan baik setakat dua bulan ini, saya banyak turun promosi di bazar-bazar sepanjang Ramadan ini. Selepas ini memang ada perancangan untuk kembangkan bisnes kepada baju dan skrit pula,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zara turut terkilan apabila terdapat segelintir pengikut laman sosialnya menuduhnya sebagai seorang yang sombong.
Katanya, sebagai manusia biasa, ada masa yang dia mungkin terlepas pandang untuk memberi dan membalas senyuman daripada peminat.
“Hari ini (Isnin) ramai yang komen di Instagram saya beritahu saya ini sombong, entah bila mereka jumpa saya pun saya tidak tahu.
“Bagi saya mereka yang cakap saya begitu ialah mereka yang tidak mengenali saya secara dekat, saya mungkin tidak boleh senyum sepanjang masa,” ujarnya.
Dia juga mengakui raut wajahnya yang agak garang kadang-kala membuat persepsi buruk orang yang berfikir bahawa dia seorang yang sombong.
Bagaimanapun, dia meminta agar orang ramai tidak mengadilinya sebelum menegur dan mengenalinya terlebih dahulu.
“Muka saya kalau tidak senyum memang agak garang dan sombong, tetapi mereka kena tegurlah saya dulu sebelum menilai perangai saya.
“Saya yakin bila mereka kenal saya mereka tahu sapa saya sebenarnya,” katanya. – mStar Online
0 comments:
Post a Comment