MIRI – Seorang warga Indonesia yang dianggap berbahaya kerana sering bertindak agresif tanpa sebab, maut dibelasah setelah dia mengamuk dengan senapang dan pedang.
Dalam kejadian kira-kira 10.05 pagi tadi, Rijal yang berusia 30-an dikatakan telah dipukul dengan benda tumpul.
Ketua Polis Miri ACP Gan Tian Kee berkata sebelum itu mangsa telah mengamuk dengan melepaskan dua das tembakan ke arah pekerja ladang dan menetak mereka di Ladang Sawit Sungai Tangit, Jalan Miri-Bintulu di sini.
“Pekerja-pekerja ladang terbabit sedang mengambil buah sawit dan tiba-tiba mangsa membawa senapang patah buatan sendiri dan melepaskan dua tembakan menyebabkan mereka bertempiaran lari.
“Suspek yang dipercayai kurang waras juga menetak kepala seorang pekerja ladang yang dikenali dengan nama Baharudin,” katanya.
Gan berkata pada satu ketika, ketika mangsa cuba untuk mengisi peluru senapangya, seorang rakannya mengambil sebatang dahan sawit dan terus memukul kepalanya sehingga menyebabkan mangsa terjatuh sebelum dia dipukul para pekerja ladang sehingga mati.
Beliau berkata pihak polis menemui senapang itu dan sebilah pedang di lokasi kejadian.
Kes diklasifikasi sebagai bunuh, katanya.
Mangsa sebelum ini pernah menyerang rakannya sehingga cedera. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment