TANAH MERAH – Polis berjaya merampas 4,000 pil disyaki dadah jenis yaba dianggarkan bernilai RM64,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Chat Rimau, dekat sini, Khamis lalu.
Rampasan dadah jenis itu yang terbesar di daerah ini pada tahun ini dibuat pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, dalam serbuan kira-kira jam 11.15 pagi itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 29 tahun.
“Ketika ditahan, lelaki terbabit berada di ruang tamu rumah berkenaan dan hasil pemeriksaan badan, polis menemui satu beg silang yang disilang di bahu kiri suspek.
“Pemeriksaan dalam beg itu menemui satu plastik hijau yang mengandungi dua bungkusan berpita pelekat berwarna kekuningan dan di dalam setiap bungkusan itu terdapat 10 paket plastik biru,” katanya, hari ini.
Menurutnya, selain suspek, dua lelaki dan tiga perempuan yang berada dalam rumah itu turut ditahan dan kesemua tahanan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas barang rampasan mendapati, setiap satu plastik berwarna biru mengandungi 198 pil berwarna kemerahan dan dua pil berwarna kehijauan.
“Jumlah keseluruhan adalah 3,960 pil berwarna kemerahan dan 40 pil berwarna kehijauan disyaki dadah jenis yaba. Suspek utama dipercayai mendapat bekalan dadah ini dari Tok Uban, Pasir Mas,” kata Abdul Aziz.
Beliau berkata, suspek utama berasal Kampung Telok Sawa, Tok Uban, Pasir Mas itu ditahan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
“Dua lelaki dan tiga perempuan yang ditahan bersama suspek dibebaskan.
“Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua yang ditahan termasuk suspek negatif dadah,” katanya lagi. – Sinar Harian Online
0 comments:
Post a Comment