Kegiatan Perjudian Piala Dunia Tumpas
Sungai Petani: Polis Bukit Aman menumpaskan satu kegiatan perjudian Piala Dunia 2014 yang beroperasi di sebuah rumah di Taman Kempas di sini, yang dipercayai mengendalikan pertaruhan harian mencecah RM100,000.
Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam tadi, empat lelaki berusia antara 20 dan 32 tahun ditahan selepas dipercayai anggota kepada sindiket yang menguruskan pertaruhan secara dalam talian di rumah terbabit.
Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman Superintendan Amir Rashid Derani, berkata pihaknya percaya rumah berkembar dua tingkat itu disewa khusus sindiket sejak kira-kira sebulan lalu, untuk dijadikan sebagai markas kegiatan judi terbabit.
"Dalam serbuan itu, kami mendapati rumah berkenaan dalam keadaan gelap berikutan sindiket terbabit menutup semua tingkap dan pintu menggunakan pelekat khas bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
"Semua suspek yang berasal dari Kuala Lumpur ditahan mengikut Seksyen 6 Akta Pertaruhan 1953 (Akta 495), jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM200,000 serta boleh dipenjara bagi tempoh tidak lebih lima tahun," katanya. - myMetro
0 comments:
Post a Comment