Alejandro Sabella |
RIO DE JANEIRO: Jurulatih Argentina, Alejandro Sabella mengakui kekalahan 0-1 skuad bimbingannya kepada Jerman di final Piala Dunia, pagi tadi adalah ‘saat paling menyedihkan’ namun masih berbangga dengan prestasi pemainnya.
Sabella yang ditemuramah sejurus selepas perlawanan tamat berkata; “Sedih untuk tidak mampu menjuarai kejohanan ini, namun bangga dengan pasukan yang menampilkan permainan yang hebat.
“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemain, yang menjadi kebanggaan negara kerana usaha yang mereka lakukan dan dengan kejohanan yang mereka lalui,” katanya.
Bintang tengah Argentina, Javier Mascherano juga tidak dapat menahan kesedihan dan seperti ramai rakan sepasukannya, mengalirkan air mata.
“Kesakitannya amat besar. Kami mahu untuk membawa balik piala ini ke Argentina sekali lagi.
“Kami seperti dirobek. Kami memberikan segala yang kami mampu dan kami meminta maaf kepada peminat yang datang ke sini dan juga rakyat Argentina.
“Kesakitannya akan kekal bersama kami sepanjang hidup kami kerana ini adalah peluang terbaik kami,” kata pemain Barcelona itu. “Kami perlu mengangkat kepala kami dan mengatasi kesakitan ini.” - Reuters
0 comments:
Post a Comment