Kuala Terengganu: Dua sahabat terpaksa akur dengan hukuman penjara lapan tahun diputuskan Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku salah meragut beg galas milik seorang penuntut di sebuah perhentian bas pada 3 Julai lalu.
Hakim Mohd Azhar Othman membuat keputusan itu selepas Tengku Taufik Hidayat Tengku Abdullah, 30, dari Bukit Payong, Marang dan Tengku Azhar Tengku Ismail, 29, dari Manir, di sini mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan berkumpulan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan terhadap harta Wan Nur Safiah Wan Ahmad, 23, dengan meragut beg galas yang mengandungi kad pengenalan, sebuah telefon bimbit model BlackBerry jenama 9800, sebuah telefon bimbit model Nokia 302 Asha, satu pengecas telefon bimbit, seutas jam tangan jenama Bonia dan wang tunai RM50.
Dua sahabat yang masing-masing bekerja sebagai mekanik dan peniaga mengaku salah melakukan kesalahan itu di tempat menunggu bas, Kampung Pengadang Baru, di sini, jam 6.45 petang pada 3 Julai lalu.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.
Mengikut fakta kes, ketika mangsa menunggu bas di kawasan berkenaan sebelum dihampiri sebuah motosikal Honda EX5 dinaiki dua tertuduh yang bertopi keledar.
Dua tertuduh kemudian memberhentikan motosikal berhampiran tempat mangsa menunggu bas sebelum seorang daripadanya menghampiri mangsa dan meragut beg galas yang ada di tangan mangsa dari arah belakang.
Sebaik mendapatkan beg galas itu, dua tertuduh melarikan diri sebelum satu laporan polis dibuat mangsa.
Sumber: myMetro online
0 comments:
Post a Comment