KUALA LUMPUR – Sidang Parlimen tergempar Rabu ini bakal menjadi tumpuan seluruh rakyat Malaysia yang pastinya terkesan dengan tragedi malang yang menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17, yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine, pada Khamis.
Bukan hanya Malaysia, malah seluruh dunia mengutuk keras tindakan ganas dan tidak berhati perut yang telah meragut nyawa 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan yang terdiri daripada pelbagai warganegara.
Kesatuan serupa dijangka ditunjukkan 222 anggota Dewan Rakyat untuk mengetepikan perbezaan politik dan menzahirkan solidariti rakyat Malaysia untuk mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat malang itu.
Menurut Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah, ini merupakan kali pertama sidang Parlimen tergempar dipanggil untuk membincangkan isu kemanusiaan membabitkan Malaysia dan kali kedua selepas usul mengecam serangan Rejim Zionis Israel di Gaza, diadakan pada 12 Jan 2009.
Roosme berkata semua anggota Parlimen telahpun dimaklumkan mengenai sidang tergempar itu melalui pelbagai medium komunikasi. Bagaimanapun, setakat ini Majlis belum menerima usul rasmi yang akan dikemukakan kerajaan, katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan khas mengenai nahas MH17 yang disiarkan secara langsung di RTM1 pada Jumaat, mengumumkan untuk memanggil sidang Parlimen tergempar bagi membentangkan usul mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas pesawat itu dan bagi menyatakan pendirian tegas rakyat Malaysia terhadap tragedi malang berkenaan.
Najib turut membayangkan tiga usul utama akan dibahaskan antaranya menuntut pihak terbabit menjamin keselamatan pasukan penyelamat dan penyiasat sepanjang operasi dijalankan selain memastikan urusan pengurusan mangsa berjalan lancar.
Kerajaan juga katanya mendesak pihak-pihak berkenaan agar tidak mengganggu dan mencemari bukti-bukti di tempat kejadian supaya kerja-kerja penyiasatan dapat dilakukan secara telus dan berkesan.
“Ketiga, jika siasatan membuktikan pesawat MH17 ditembak jatuh, Malaysia menuntut agar pihak yang bertanggungjawab dibawa terus ke muka pengadilan,” katanya. Dalam pada itu beberapa anggota Parlimen menyambut baik keputusan mengadakan sidang Parlimen khas itu, malah menyifatkannya sebagai langkah perlu.
Anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) Sekijang, Annuar Abdul Manaf berharap pendirian dan ketegasan Malaysia yang akan disampaikan melalui sidang khas itu akan mendapat perhatian dunia.
“Kita mahu mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selaku badan yang bertanggungjawab untuk keselamatan dunia memberi komitmen jitu untuk mencari jalan penyelesaian dan dalang di sebalik tragedi berkenaan,” katanya.
Beliau berkata Malaysia juga tidak mahu isu itu diambil kesempatan oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Rusia untuk kepentingan masing-masing.
“Kita tidak mahu ada pihak yang sengaja menggunakan isu ini untuk mengalihkan perhatian dunia daripada isu Palestin dan Israel,” katanya yang berharap anggota Parlimen menunjukkan kata sepakat dalam isu itu. Ketua Whip Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu telah mengarahkan semua anggota Parlimennya untuk hadir.
“Kita harap untuk turut memberi pendapat dan pandangan mengenai langkah-langkah yang harus dilakukan,” katanya.
Katanya kerajaan diharap berlapang dada untuk mendengar pendapat anggota Parlimen daripada pelbagai latar belakang parti yang dipercayai ingin turut sama berkongsi pendapat.
Selain itu, PAS katanya turut menyambut baik keputusan kerajaan agar bendera negara dikibar separuh tiang di seluruh negara mulai malam ini sehingga Isnin depan (21 Julai) berikutan tragedi itu.
Anggota Parlimen DAP Dr Tan Seng Giaw pula berkata Malaysia perlu tahu punca sebenar tragedi dan menyifatkan pasukan siasatan antarabangsa yang bebas perlu dibenar membuat siasatan terperinci tanpa sebarang sekatan.
Sidang Parlimen tergempar itu akan bermula 10 pagi. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment