Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, July 30, 2012

No Comment

Suka nak dikongsikan bersama anda semua, satu artikel dari rakan blog berkaitan adab-adab dan amalan sunat ketika puasa. Amalan-amalan sunat ketika puasa antaranya:

1) Sahur
Sahur merupakan amalan sunat yang sangat dituntut oleh agama. Tuntutan ini banyak dirakamkan di dalam hadis-hadis yang sahih. Antaranya:
Hadis daripada Anas bin Malik RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersahurlah kamu, sesungguhnya pada sahur itu mempunyai barokah (kebaikan).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Hadis daripada Amru bin al-Ash RA, Nabi SAW telah bersabda: “Membezakan antara puasa kita dan puasa ahli kitab (beriman pada Allah dahulu) adalah pada makan sahur.” (Riwayat Muslim)
Hadis daripada Abdullah bin Amru RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Bersahurlah kamu walaupun dengan seteguk air.” (Riwayat Ibnu Hibban: Hadis Hasan)
Hadis daripada Abu HUrairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Nikmat sahur al-Mukmin adalah makan tamar.” (Riwayat Ibnu Abu Daud dan Ibnu Hibban: Sahih)
Itu adalah sebahagian daripada kelebihan bersahur. Jika kita lihat dari segi kesihatan juga ia amat baik, kerana kita akan menempuh tempoh puasa yang agak lama, maka tenaga yang cukup pada permulaan puasa adalah perkara yang sangat baik di samping dapat melakukan kerja-kerja seharian dengan baik sepanjang tempoh berpuasa.

2) Melambatkan Sahur
Waktu sahur yang paling afdhol adalah waktu yang agak hampir dengan waktu azan subuh. Tetapi tidak boleh lebih daripada selepas masuk waktu subuh, jika sudah masuk waktu subuh, maka kena berhenti makan.
Jika ada air di tangan yang tidak sempat untuk minum, atau makanan masih ada dalam mulut, maka boleh baginya untuk menghabiskan air tersebut sekadar keperluannya dan juga makanan yang berada di mulut tadi. Ini adalah berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika seorang daripada kamu mendengar azan, dan cawan berisi air masih ada di tangan, maka jangan letak sehingga selesai hajatnya.” (Rwayat Abu Daud dan Al-Hakim: Sahih)
Juga hadis daripada Unaisah binti Habib RA, Nabi SAW bersabda: “Apabila Ibnu Ummi Maktum azan, maka boleh lagi makan dan minum, dan apabila Bilal azan (azan kedua), maka tidak boleh lagi makan dan minum.” (Riwayat An-nasa’I, Ibnu Hibban dan Imam Ahmad: Sahih)
Berdasarkan hadis tadi, kita dibenarkan untuk makan dan minum sehingga masuk waktu azan subuh. Jika dengar sahaja azan, maka saat itu berhenti daripada makan dan minum. Di sini menunjukkan bahawa Nabi SAW bersahur pada waktu hampir hendak masuk waktu azan subuh.

3) Mengawalkan berbuka puasa
Afdhal bagi orang yang berpuasa mengawalkan waktu berbuka. Apabila azan berkumandang, maka boleh terus berbuka puasa. Jangan lagi tunggu berbuka di tengah-tengah waktu azan, atau pun di akhir azan. Jika kita menunggu di tengah-tengah laungan azan, itu juga sudah dikira lewat kata ulama’. Justeru, berbukalah semasa takbir yang pertama seusai membaca doa.
Kelebihan ini berdasarkan hadis yang sahih yang diriwayatkan daripada Sahal bin Saad RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Tidak hilang pada seseorang itu kebaikan selagi mana dia mengawalkan waktu berbuka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4) Berbuka dengan memakan buah tamar terlebih dahulu
Berbuka dengan buah tamar atau kurma adalah sunnah perbuatan Nabi SAW, paling sedikit pun jika tiada buah tamar, pasti baginda akan meminum air dan selepas itu baru solat, ia bagi menandakan bahawa nabi mengawalkan waktu berbuka. Tetapi jika tiada buah tamar, makanlah apa-apa sahaja buah yang manis, yang mudah untuk dapatkannya jika sukar untuk dapatkan buah tamar.
Ini berdasarkan hadis daripada Anas RA: “Baginda SAW akan berbuka puasa dengan beberapa biji rutob sebelum menunaikan solat, jika tiada rutob, maka nabi akan memakan beberapa biji tamar, jika tiada, nabi saw akan minum air dengan beberapa tegukan.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi : Hasan)
Di sini menunjukkan bahawa Nabi SAW mencari perkara yang lebih afdhal dahulu iaitu berbuka, kemudian baru baginda tunaikan solat. Sama juga dengan keadaan kita hari ini, jika makanan sudah terhidang, maka lebih afdhal kita makan terlebih dahulu, kemudian baru tunaikan solat.

5) Doa ketika berbuka puasa
Selain kita mengamalkan doa yang sahih daripada Nabi SAW, kita juga dibenarkan untuk berdoa dengan apa-apa sahaja doa yang kita kehendaki, bulan Ramadan ini, kita harus memperbanyakkan doa pada setiap keadaan dan ketika. Kerana bulan ini adalah bulan ibadah, setiap detik dan saat diperuntukkan untuk beribadah kepada Allah SWT.
Nabi SAW membaca doa ini ketika berbuka:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتْ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Telah hilangnya dahaga, dan telah basahlah tekak, dan telah ditetapkan ganjaran jika dikehendaki oleh Allah SWT.” (Riwayat Abu Daud dan An-Nasai’: Disahihkan oleh al-Bani)
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”
(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

6) Pemurah
Kita sering digalakkan untuk menjadi pemurah. Jadilah pemurah mengikut kemampuan yang ada pada kita, jika kita ada tenaga, kita bantu orang lain menggunakan tenaga kita, jika kita ada harta, kita gunakan harta kita untuk kurangkan beban orang lain serta perkara-perkara manfaat yang lain. Kita jangan fikir bahawa hidup di dunia ini, apa sahaja kita beri, kita inginkan balasan. Kita perlu juga fikir untuk memberi dalam kehidupan yang singkat ini.
Orang yang paling pemurah di dunia ini adalah Nabi SAW, ini berdasarkan hadis daripada Ibnu Abbas RA: “Nabi SAW adalah paling pemurah bagi sekalian manusia.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita lihat bagaimana pengorbanan Nabi SAW kepada umatnya. Tiada inginkan balasan sentiasa, tetapi mengharapkan rahmat Allah SWT.

7) Sentiasa memperelokkan/memperbaiki bacaan al-Quran
Apabila kita melihat aktiviti harian Nabi SAW ketika di bulan Ramadan, setiap hari baginda akan tadarus al-Quran bersama Malaikat Jibril AS. Ini merupakan aktiviti yang sangat baik, walaupun Nabi SAW merupakan seorang Rasul, yang mana darjatnya lebih tinggi daripada Jibril, tetapi baginda tetap merendahkan diri untuk belajar dan tadarus al-Quran bersama Jibril AS.
Itu adalah kebaikan tadarus, apabila kita berada di bulan-bulan lain barangkali kita sibuk dengan urusan seharian, maka kita sering membaca al-Quran seorang diri. Kita tidak tahu bacaan kita mana yang betul, mana yang terkurang dan mana yang salah. Tetapi apabila kita bertadarus bersama sahabat-sahabat yang lain, ada juga orang yang ingin menegur bacaan kita seadanya. Kita hidupkan sekolah al-Quran di bulan Ramadan ini, supaya di dalam peningkatan umur ini, bacaan kita sentiasa bertambah baik.

8) Menghindarkan diri daripada perbuatan yang lalai dan maksiat
Di dalam sekolah Ramadan ini, kita disuruh untuk menjaga lidah kita daripada bercakap perkara yang sia-sia, menipu, mengumpat, mengadu domba, mencela, mengutuk, menjatuhkan maruah orang lain, dan sebagainya. Demikian juga pada anggota-anggota yang lain, kita perlu jaganya dengan sebaik mungkin daripada perkara yang haram.
Inilah rahsia di dalam Ramadan, mentarbiyah kita supaya menjadi orang yang bertaqwa yakni takut pada Allah pada setiap saat dan ketika. Untuk mencapai darjat ini, kita perlu usaha dalam sebulan ini dengan sebaiknya, kerana dengan izin Allah pasti diri kita akan sentiasa kuat apabila berada selepas sebulan Ramadan, di saat musuh-musuh ketat kita iaitu Syaitan tidak lagi dibelenggu.
Rahsia ini ada disebut di dalam firman Allah SAW yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqaroh ayat 183)
Juga Hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: “Jika salah seorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah dia mencarut, bertelingkah, dan bersikap bodoh. Sekiranya ada orang mencerca atau ingin memeranginya (orang berpuasa), maka katakanlah : Sesungguhnya aku ini puasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sunat bagi orang yang berhadapan dengan golongan yang disebutkan di atas, dia menyebut yang dia sedang berpuasa. Hukum ini boleh diguna pakai pada puasa sunat.

0 comments:

Post a Comment